Warisan Muzik Uygur Bawa Kekayaan kepada Artis Rakyat

Sulayman Abdu, pekebun anggur, tidak hanya goyang kaki menunggu masa memetik anggur pada musim bunga.

Pemuzik Muqam berusia 61 tahun di pekan Lukqun, wilayah autonomi Uygur Xinjiang, barat laut China cukup sibuk dengan tempahan persembahan daripada penduduk sekampung pada musim sejuk lalu.

Artis Muqam, Sulayman Abdu (tiga dari kiri) sedang berlatih bersama-sama artis Muqam yang lain di pekarangan rumahnya. (Foto/Xinhua)

"Perladangan anggur menjadikan saya kaya dari segi harta, manakala Muqam pula memberikan saya kekayaan rohani. Saya menghargai kedua-duanya," kata Abdu.

Muqam, seni tradisional kumpulan etnik Uygur di Xinjiang, mengintegrasikan lagu, tarian, muzik rakyat dan klasik. Pada tahun 2005, Seni Muqam Uygur Xinjiang China telah diluluskan oleh UNESCO sebagai "Karya Agung Warisan Kemanusiaan Lisan dan Warisan Tidak Ketara."

Muqam Uygur Xinjiang telah berkembang kepada empat gaya utama mengikut rantau iaitu Muqam Dua Belas, Muqam Dolan, Muqam Turpan dan Muqam Hami.

Abdu, ahli pusat warisan Muqam di bandar itu bersama-sama dengan artis Muqam yang lain sering berlatih di rumahnya, di mana muzik, bunyi gendang tangan yang rancak, serta lagu dan tarian yang ceria menarik penduduk kampung untuk berhenti dan menonton.

Menurut Abdu, sudah menjadi kebiasaan masyarakat tempatan untuk menonton persembahan Muqam pada majlis perayaan dan perjumpaan.

Menjelang Perayaan Musim Bunga, makin banyak aktiviti keramaian diadakan di kampung tersebut. Sejak awal musim sejuk lalu, Abdu telah menerima lebih 20 jemputan untuk membuat persembahan.

"Saya gembira bermain untuk penduduk kampung, dan mereka menyukainya," kata Abdu.

Antara alat-alat muzik Muqam yang pelbagai itu, kegemaran Abdu ialah satar (alat muzik bertali), yang dipilihnya semasa belajar daripada gurunya untuk pertama kali pada usia 16 tahun. Pasangannya, Mamat Yusup, 51, yang sering bermain bersama Abdu, lebih gemar bermain tanbur (satu lagi jenis alat muzik bertali).

“Sebab bunyinya boleh sampai ke sanubari,” kata Yusup.

Kesemua pemain Muqam ini berasal dari kampung di Xinjiang. Mereka adalah petani biasa pada musim menuai tetapi artis rakyat popular semasa bukan musim pertanian. Apabila muzik Uygur mula dimainkan, mereka kelihatan seperti orang yang berbeza.

Pada 11 Januari lalu, artis Muqam, Mamat Yusup (tiga dari kiri) dan Sulayman Abdu (keempat dari kiri) membuat persembahan Muqam di majlis perkahwinan kampung. (Foto/Xinhua)

Berbanding dengan generasi lama artis Muqam, kehidupan Abdu dan rakan-rakannya telah berubah secara dramatik. Sebagai pewaris warisan budaya tidak ketara di peringkat wilayah autonomi, Abdu mendapat subsidi kerajaan sebanyak 4,800 yuan (kira-kira 3,100 ringgit) setahun.

Muqam turut memberi peluang kepada Abdu untuk membuat persembahan di bandar besar seperti Beijing dan Shanghai. Dengan hanya pendidikan peringkat sekolah menengah, beliau berjaya menghantar tiga anaknya ke kolej. Kini, anak sulungnya bekerja di Shanghai dan telah membelikannya sebuah kereta pada 2019.

"Generasi artis rakyat kita mempunyai keadaan hidup yang lebih baik dan lebih banyak kegiatan spiritual," kata Abdu sambil menambah bahawa perkara paling penting dalam mempelajari Muqam ialah tanggungjawab. "Bukan mudah untuk seni purba ini diwariskan kepada kita. Kita mesti menyimpan kekayaan rohani ini."

Pada tahun ini, Abdu mahu berlatih lebih banyak karya Muqam yang sebelum ini tidak sering dipersembahkan bersama ahli warisan kebudayaan Muqam supaya dapat memberikan persembahan yang lebih baik kepada penduduk kampung.

Sementara itu, Abdu memberitahu bahawa beliau akan turut mengadakan kursus latihan Muqam di pusat warisan kebudayaan itu bagi menarik lebih ramai pelajar muda merasai pesona Muqam.

Sehingga Jun 2021, Xinjiang mempunyai 4,640 projek warisan budaya tidak ketara. Daripada jumlah ini, 96 projek telah dimasukkan ke dalam senarai kebangsaan warisan budaya tidak ketara, manakala tiga lagi berada di dalam senarai UNESCO iaitu Muqam Uygur di Xinjiang, Manas dan Meshrep.

Artis Muqam, Sulayman Abdu (pertama dari kiri) sedang membincangkan kandungan persembahan bersama artis lain. (Foto/Xinhua)

Gaya Hidup

Berita Berkaitan