China Terbit Kertas Putih Tadbir Urus Ruang Siber Berasaskan Undang-undang pada Era Baharu

(CRI)Jumaat 17 Mac 2023
China Terbit Kertas Putih Tadbir Urus Ruang Siber Berasaskan Undang-undang pada Era Baharu

Satu kertas putih berhubung ‘Tadbir Urus Ruang Siber Berasaskan Undang-undang China pada Era Baharu’ diterbitkan pada Khamis.

Menurut kertas putih itu, China sudah menggubal dan menguatkuasakan lebih 140 buah undang-undang melibatkan tadbir urus siber sejak 1994, iaitu waktu permulaan penyambungan China dengan internet yang merangkumi kesemua fungsinya.

Pengarah Pejabat Undang-undang Ekonomi Suruhanjaya Hal Ehwal Perundangan di bawah Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Yue Zhongming memaklumkan bahawa lima undang-undang khas telah digubal sejak beberapa tahun lalu bagi mendorong pembangunan internet dengan sihat di sisi undang-undang.

“Berpandukan Undang-undang Keselamatan Siber yang digubal pada 2016, pendaftaran dengan nama sebenar dalam siber dapat dilaksanakan, selain turut menetapkan sistem dan langkah-langkah bagi memelihara keselamatan produk, perkhidmatan serta pengoperasian siber."

“Undang-undang E-dagang yang dikeluarkan pada 2018 pula telah mengemaskini aktiviti e-dagang dengan menyeluruh."

“Manakala, Undang-undang Keselamatan Data dan Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi pada 2021 pula dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan dalam menjamin keselamatan data negara, serta melindungi hak dan kepentingan peribadi setiap warganegara,” jelas beliau.

Yue berkata, pada tahun 2022 pula, Undang-undang Antipenipuan Rangkaian Telekomunikasi pula digubal bagi membentuk sistem tadbir urus yang komprehensif yang merangkumi telekomunikasi, kewangan dan internet.

Difahamkan, kertas putih itu juga telah memperincikan tentang kerjasama antarabangsa dalam usaha meningkatkan tadbir urus ruang siber.

Naib Pengarah Pejabat Maklumat Internet Negara, Cao Shumin menyatakan bahawa pelbagai negara mempunyai tamadun perundangan masing-masing yang pasti akan menemui model tadbir urus pembangunan internet sendiri.

“China akan mengikuti bimbingan konsep yang disarankan Presiden China, Xi Jinping dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib ruang siber bersama-sama dengan negara lain, serta menerokai jalan yang efisien supaya membantu umat manusia lebih memanfaatkan internet,” katanya.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan