Kertas Biru Persidangan Internet Dunia 2022 Dilancarkan

(CRI)Khamis 10 November 2022

Akademi Pengajian Ruang Siber China (CACS) melancarkan dua kertas biru sempena berlangsungnya Sidang Kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia 2022 yang diadakan di Wuzhen, pada Rabu.

Terdiri daripada Laporan Pembangunan Internet China 2022 dan Laporan Pembangunan Internet Dunia 2022, pelancaran kertas biru yang keenam sejak 2017 disifatkan sebagai acara penting dalam Persidangan Internet Dunia.

Penyusunan kertas biru tersebut diketuai oleh CACS dan disertai oleh kumpulan pemikir serta institut penyelidikan internet dari dalam dan luar negara.

Dokumen itu menghuraikan secara objektif perkembangan Internet melibatkan kemajuan baharu, hasil baharu, dan trend baharu, dan menarik perhatian masyarakat seluruh dunia.

Laporan Pembangunan Internet China 2022 edisi kali ini memfokuskan pembangunan dan kejayaan baharu China dalam bidang Internet dalam masa setahun lalu.

Ia termasuk pembinaan prasarana maklumat yang mendahului dunia dengan penyelesaian susun atur pusat data raya bersepadu; peranan pemerkasaan ekonomi digital yang semakin menonjol yang turut menjana pembinaan pasaran elemen data; peningkatan keberkesanan perkhidmatan awam digital dan tadbir urus sosial yang berkembang ke arah kecerdasan.

Selain itu, ia turut memperincikan tentang peningkatan pembinaan tamadun siber secara stabil, sistem tadbir urus siber yang semakin lengkap, pembinaan peringkat awal sistem perlindungan keselamatan data, pembinaan perundangan siber, pertukaran dan kerjasama ruang siber antarabangsa pragmatik dan cekap, serta pencapaian baharu kerjasama digital.

Sementara itu, Laporan Pembangunan Internet Dunia 2022 pula menganalisis 48 negara dan kawasan dari lima benua dari enam sudut iaitu prasarana, daya inovasi, pembangunan industri, penggunaan Internet, keselamatan siber dan tadbir urus Internet.

Menurut keputusan penilaian komprehensif, 10 negara yang menduduki tempat teratas pada tahun ini ialah Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, Sweden, Belanda, Korea Selatan, Britain, Kanada, Finland dan Denmark.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan