Hong Kong Kekal Kedudukan Ke-4 Indeks Pusat Kewangan Sedunia

(CRI)Jumaat 24 Mac 2023

Hong Kong (HK) kekal di tangga ke-4 dalam ranking pusat kewangan antarabangsa, menurut Laporan Indeks Pusat Kewangan Sedunia edisi ke-33 yang diedarkan bersama Kumpulan Z/Yen Britain dan Institut Pembangunan Komprehensif Shenzhen China, pada Khamis.

Jurucakap kerajaan wilayah pentadbiran khas HK China berkata, pihaknya akan terus komited untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan antarabangsa, dan memanfaatkan kelebihan sendiri bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

Untuk rekod, empat aspek HK iaitu iklim perniagaan, prasarana, taraf pembangunan industri kewangan, serta prestij dan prestasi keseluruhan telah meningkat dua tangga berbanding indeks edisi terdahulu.

Ia sekali gus memperlihatkan kecemerlangan dan kelebihan HK sebagai pusat kewangan yang maju di dunia.

Berbanding prospek kakitangan industri kewangan dari pusat-pusat kewangan penting yang lain di dunia terhadap bandar masing-masing, kakitangan industri kewangan di HK adalah paling berkeyakinan terhadap daya saing wilayah pentadbiran khas itu sebagai pusat kewangan antarabangsa pada masa akan datang.

Menurut jurucakap itu, kerajaan HK akan terus menggunakan kelebihan sistem 'satu negara dua sistem', termasuk tradisi perundangan yang baik, persekitaran perniagaan yang berorientasikan pasaran dan antarabangsa, prasarana dan kemudahan yang mantap, sistem penyeliaan yang selari dengan piawaian antarabangsa, produk kewangan yang pelbagai serta pengedaran maklumat dan dana yang bebas bagi meningkatkan peranan HK sebagai pusat pasaran modal dan kewangan antarabangsa.

"HK mempunyai sistem kawalan dan penyeliaan risiko yang stabil dan mantap, ditambah lagi dengan daya penampan dan rintangan tempias pasaran kewangan yang kuat, kami yakin sistem kewangan HK mampu berdaya tahan daripada tempias luaran dan kekal stabil", ujarnya.

Sebagai makluman, laporan Indeks Pusat Kewangan Sedunia diedarkan pada Mac dan September setiap tahun bermula pada 2007.

Untuk laporan edisi ke-33 kali ini, sebanyak 120 pusat kewangan di seluruh dunia telah dinilai dan HK menduduki tangga keempat dengan perolehan 722 mata.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan