China Kongsi Pencapaian Industri Navigasi Satelit

(CRI)Khamis 27 April 2023

Sejak pengoperasian tiga tahun lalu, Sistem Satelit Pandu Arah Beidou (BDS) memiliki mod aplikasi yang lebih pelbagai dengan bidang penggunaan semakin meluas, menyaksikan teknologi dan perkhidmatan ditawarkannya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Demikian dinyatakan Naib Pengarah Pejabat Navigasi Satelit China, Chen Gucang ketika memperkenalkan pengaplikasian BDS dalam Persidangan Navigasi Satelit China (CSNC) ke-13 yang berlangsung di Beijing dari 26 hingga 28 April.

Bertemakan 'Ekonomi Digital, Navigasi Pintar', sidang tahunan kali ini merangkumi forum, sesi pertukaran ilmiah, pameran pencapaian, aktiviti menyebarkan pengetahuan sains, dan sebagainya.

Pencapaian China dalam pembangunan BDS dan sistem pandu arah satelit lain akan dikongsi kepada rakan kerjasama global sempena persidangan tersebut.

Menurut Chen, setakat Januari tahun ini, BDS menawarkan lebih 300 bilion kali perkhidmatan penentududukan sehari menerusi perisian pemetaan China.

Sistem itu juga digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor di Mozambique, Lubnan, Burkina Faso dan Arab Saudi.

Di Asia pula, ia berperanan besar dalam sistem pengawasan empangan Tasik Sarez, projek pembinaan lebuh raya China-Kyrgyzstan-Uzbekistan, penghantaran minyak saluran paip China-Kazakhstan, operasi kereta api kargo China-Eropah dan lain-lain.

"China akan terus berkongsi perkhidmatan BDS kepada lebih banyak negara, di samping memperkasakan perkembangan sistem itu di arena antarabangsa."

"China juga akan aktif menyertai urusan antarabangsa berkaitan pandu arah satelit, dan bersama menyumbang kepada kemajuan navigasi satelit dunia," ujar beliau.

Pada 2022, nilai output industri pandu arah satelit dan perkhidmatan penentududukan yang berteraskan BDS merekodkan RMB550 bilion (RM354.38 bilion) .

Gaya Hidup

Berita Berkaitan