Xi Mahu Lihat Kemajuan Baharu Pembangunan Xiong'an

(CRI)Khamis 11 Mei 2023

Presiden China, Xi Jinping menekankan perlunya langkah jitu diambil untuk memastikan projek pembangunan Kawasan Baharu Xiong'an (XNA) terus melakar kemajuan.

Bermula Rabu, Xi turun padang ke Xiong'an, provinsi Hebei di utara China untuk melihat sendiri perkembangan terkini projek berkenaan.

Pada April 2017, China mengumumkan rancangan penubuhan XNA di lokasi kira-kira 100 kilometer dari barat daya Beijing, dengan objektif untuk meringankan beban Beijing yang berstatuskan ibu negara.

Xi sendiri terlibat dalam membuat keputusan mengenai rancangan itu, dan pernah mengunjungi Xiong'an sebanyak dua kali dalam tempoh enam tahun lalu.

Stesen Kereta Api Xiong'an, infrastruktur simbolik projek XNA, merupakan tempat pertama yang dilawatinya.

"Stesen Xiong'an direka bentuk sebagai hab pengangkutan, jadi adalah perlu untuk meningkatkan ketersambungannya dengan fasiliti lain di kawasan baharu berkenaan," kata Xi.

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan projek XNA sebagai amat signifikan dan harus dipergiat lagi menerusi tindakan konkrit dan usaha berterusan.

Di tapak pembinaan stesen tren antara bandar dan pusat perdagangan antarabangsa, Xi mengibaratkan fasiliti pengangkutan sebagai nadi sesebuah bandar moden.

"Sistem pengangkutan yang cekap akan menjamin sesebuah bandar beroperasi secara sihat."

"Usaha perlu ditingkatkan untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan yang berdimensi dan bersepadu, sekali gus menterjemahkan pelan perancangan berstandard tinggi kepada pembangunan berkualiti," ujar beliau.

Xi seterusnya menjejakkan kaki ke komuniti kediaman Nanwenying dengan bilangan penduduk seramai 5,000 orang yang dahulunya tinggal di pinggir Xiong'an.

Di situ, beliau menuntut agar keutamaan diberikan kepada aspek pekerjaan dan keusahawanan, selain mahu skim latihan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kawasan baharu itu hendaklah meneroka satu pendekatan baharu untuk merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar dan memacu pembangunan bersepadu ke arah kemakmuran bersama buat semua," kata Xi.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan