Perlunya Solidariti, Kolaborasi Jaga Kewibawaan CWC

(CRI)Selasa 16 Mei 2023

Solidariti dan kolaborasi sesama negara pemeterai terbabit harus diperkukuh lagi untuk mempertahankan kewibawaan Konvensyen Senjata Kimia (CWC).

Pendirian itu dinyatakan menerusi jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin susulan perasmian Persidangan Kajian Semula (RC) CWC kelima di The Hague, Belanda pada Isnin.

Demi sebuah dunia yang bebas senjata kimia, Wang menggesa Tokyo supaya memenuhi kewajipannya dalam pelaksanaan pelan baharu mengenai pemusnahan senjata kimia terbiar (ACW) Jepun di China.

“Pelan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tepat, dan pihak Jepun harus melakukan segala usaha untuk mempercepat proses pelupusan berkenaan,” tegas beliau semasa taklimat harian di Beijing.

Menurut beliau, selaku negara pemeterai asal CWC dan penyumbang kedua terbesar kepada Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW), China sentiasa memenuhi kewajipan antarabangsa dan komited untuk menegakkan kuasa CWC.

“Kami (China) akan terus mengamalkan multilateralisme jitu di bawah bimbingan Inisiatif Keselamatan Global, di samping melibatkan diri secara mendalam dalam proses semakan CWC dan menggerakkan persidangan itu sehingga mencapai hasil positif,” kata Wang.

Gaya Hidup