Perintah Moratorium Penangkapan Ikan Berkuatkuasa di Seluruh Negara China

(CRI)Rabu 17 Mei 2023

China mengumumkan perintah moratorium penangkapan ikan selama dua bulan setengah yang berkuatkuasa bermula pukul 12.00, 16 Mei secara serentak di tiga kawasan aliran sungai utama di bahagian utara dan timur laut negara ini yang meliputi Sungai Hai, Sungai Liao dan Sungai Songhua.

Ini merupakan komponen terakhir dalam pelaksanaan perintah moratorium penangkapan ikan yang berkuatkuasa secara menyeluruh di seluruh negara China yang mempunyai empat laut utama iaitu Laut Bohai, Laut Kuning, Laut Timur dan Laut China Selatan serta tujuh kawasan aliran sungai utama.

Kementerian Pertanian dan Hal-Ehwal Desa China pada Selasa melancarkan kempen "China Fishery Sword 2023" di bandar Songyuan, provinsi Jilin yang bertujuan menguatkuasakan undang-undang khas berhubung larangan penangkapan ikan di tiga kawasan aliran sungai utama di bahagian utara dan timur laut China, dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa perikanan tempatan dalam memantau pelaksanaan perintah tersebut supaya dapat memastikan pelaksanaan sistem moratorium penangkapan ikan terjamin, dan sumber biologi akuatik dipelihara sepenuhnya.

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Hal-Ehwal Desa China pernah mengeluarkan Notis Pelaksanaan Sistem Moratorium Penangkapan Ikan di Empat Kawasan Aliran Sungai, iaitu Sungai Hai, Sungai Liao, Sungai Songhua dan Sungai Qiantang pada tahun 2019, iaitu langkah terakhir dalam skim kebangsaan yang bertujuan menjadikan sistem terbabit dilaksanakan di kesemua tujuh kawasan aliran sungai utama dan perairan utama di negara ini.

Pada tahun 2022, seramai 135,000 orang penguatkuasa yang ditugaskan dalam melaksanakan undang-undang khas semasa tempoh moratorium penangkapan ikan di kawasan aliran Sungai Hai, Sungai Liao dan Sungai Songhua, menjalankan pemeriksaan sebanyak 21,000 kali terhadap kapal nelayan, dermaga dan pelabuhan, serta dok semula jadi.

Selain itu, mereka juga menyiasat dan menangani 1,163 kes berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang dan peraturan, dan menfailkan 163 kes kepada jabatan kehakiman. Pencapaian mereka terbukti penting bagi perlindungan terhadap sumber perikanan dan persekitaran ekologi kawasan akuatik serta pemeliharaan terhadap kepelbagaian hidupan akuatik.

Gaya Hidup