- Lain-lain
Beijing Bantah Keras Sidang Kemuncak G7 Bangkitkan Isu Berkaitan China
Beijing amat kesal dan menentang sekeras-kerasnya kenyataan bersama Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Hiroshima yang membangkitkan isu-isu berkaitan China.
Kementerian Luar (MFA) China mengemukakan bantahan keras kepada tuan rumah Jepun serta pihak terbabit susulan G7 mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berkenaan.
MFA menyelar blok itu tak endah keprihatinan Beijing, dan berdegil memanipulasikan isu-isu berkaitan China untuk memburuk-burukkan negara Tembok Besar serta mencampuri urusan dalaman China.
Mengenai isu Taiwan, MFA menekankan bahawa Taiwan adalah milik China dan penyelesaiannya merupakan urusan rakyat China sendiri.
Kementerian itu mengulangi lagi pendirian bahawa Beijing tegas menolak sebarang campur tangan asing menuding jari dan menyalahkan China berhubung isu Hong Kong, Xinjiang dan Tibet dengan alasan hak asasi.
MFA turut berkata situasi di Laut China Timur dan Laut China Selatan kekal stabil pada keseluruhannya.
Untuk itu, negara berkaitan perlu menghormati kesungguhan negara serantau dalam memelihara keamanan dan kestabilan, dan berhenti melaga-lagakan hubungan di antara negara serantau dan menghasut konfrontasi sesama blok dengan mempergunakan isu maritim.
Menyebut tentang ‘paksaan ekonomi’, Beijing membalas dengan mengatakan amalan dilakukan Amerika Syarikat seperti mengenakan sekatan unilateral secara besar-besaran, mencantas hubungan dengan China serta mengganggu rantai perindustrian dan bekalan, menjadikan dirinya sebagai pemaksa sebenar.
Bagi aspek kuasa nuklear pula, China komited untuk mengamalkan strategi nuklear yang bersifat pertahanan, menepati janji tidak menggunakan senjata nuklear dahulu, dan mengekalkan kekuatan nuklear pada tahap minimum yang sejajar dengan keperluan keselamatan negara.
MFA menegaskan China merupakan satu-satunya antara lima negara senjata nuklear yang membuat ikrar seumpama.