Ekspedisi Saintifik "Misi Puncak" 2023 Masuk Fasa Kritikal

(CRI)Selasa 23 Mei 2023

"Misi Puncak" 2023, ekspedisi saintifik ke Gunung Qomolangma, atau lebih dikenali sebagai Everest, anjuran Kumpulan Penyelidikan Ekspedisi Saintifik Komprehensif Dataran Tinggi Qinghai-Tibet, telah dilancarkan mutakhir ini.

Misi itu akan memasuki fasa kritikal bermula hari ini selepas kumpulan saintis berjaya menyelesaikan penaiktarafan teknologi terhadap stesen cuaca automatik di ketinggian 7,790 dan 8,300 meter.

Difahamkan, kumpulan yang terdiri daripada 170 ahli itu akan melengkapkan lebih daripada 10 ekspedisi saintifik, selain akan menggunakan pelbagai jenis teknologi baharu.

Sebagai contoh, pasukan ekspedisi saintifik berjaya menggunakan teknologi sistem bekalan tenaga di Bulan untuk menyelesaikan masalah bekalan tenaga instrumen dan peralatan di kawasan beraltitud ekstrem tinggi, iaitu suhu dan voltan yang sangat rendah, serta perlindungan tenaga automatik.

Untuk rekod, Dataran Tinggi Qinghai-Tibet yang dikenali sebagai "Bumbung Dunia", "Menara Air Asia", dan "Kutub Ketiga Bumi" ialah kawasan penting dan sensitif terhadap perubahan iklim global.

Ia bukan sahaja merupakan jaminan keselamatan ekologi yang penting untuk China dan Asia, malah juga amat signifikan untuk melaksanakan ekspedisi saintifik.

Melindungi persekitaran ekologi di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet bukan sahaja penting dalam usaha mengekalkan keselamatan ekologi, biodiversiti, bekalan sumber air dan kestabilan sistem iklim China, tetapi juga mempunyai makna yang positif untuk mengekalkan keselamatan ekologi global.

Ekspedisi saintifik di Gunung Qomolangma secara tidak langsung dapat merealisasikan transformasi daripada ekspedisi saintifik pendakian gunung kepada mod ekspedisi untuk memahami dan melindungi alam sekitar, dengan penerapan teknologi dan kaedah baharu.

Gaya Hidup