Gui Haichao: Pakar Muatan Pertama China Dihantar ke Stesen Angkasa

Dengan pelancaran kapal angkasa Shenzhou-16 pagi tadi, Gui Haichao menjadi pakar muatan pertama China yang dihantar ke angkasa lepas sebagai kru kapal angkasa Shenzhou-16.

Pada sidang media Isnin, Gui berkata beliau berasa sangat bertuah dan gembira kerana berpeluang menjadi pakar muatan pertama negara ini yang dihantar ke angkasa lepas. Tambahnya, peluang ini adalah berkat “fasa baharu” stesen angkasa China.

Gui, yang juga profesor di Universiti Beihang, kini muncul sebagai angkasawan awam pertama yang dihantar ke angkasa lepas. Katanya, walaupun masing-masing berlainan tanggungjawab, kru kapal angkasa Shenzhou-16 akan menyokong antara satu sama lain dan bersama-sama menyelesaikan setiap tugas dan operasi.

Dilahirkan pada 1986, keghairahan Gui terhadap sains telah disemai sejak masa kecil. Ketika itu, beliau mendapat satu set ensiklopedia, yang membolehkannya mengetahui banyak ilmu asas tentang angkasa lepas.

Selepas menduduki ujian kemasukan universiti, Gui mendapat tempat pertama di kauntinya dan diterima masuk ke Universiti Beihang, universiti ternama dalam aeronautik dan astronautik.

Beliau memilih jurusan reka bentuk dan kejuruteraan pesawat sebagai bidang pengkhususan dan mendapat ijazah kedoktoran selepas sembilan tahun. Kemudiannya beliau mengikuti program pasca doktoral di luar negeri dan menerbitkan kira-kira 20 artikel akademik SCI dalam jurnal antarabangsa terkemuka. Beliau menjadi profesor madya di sekolah astronautik, Universiti Beihang selepas balik ke China selepas itu.

Pada 2018, China mengumumkan pelan rekruit kumpulan angkasawan ketiga yang bukan sekadar meliputi juruterbang, namun juga jurutera pesawat serta pakar muatan. Gui mendaftarkan diri tanpa banyak berfikir dan berjaya dilantik selepas selesai mengikuti siri latihan yang mencabar termasuk latihan centrifuge dan latihan bertahan hidup di gurun pasir.

Misi penerbangan Shenzhou-16 adalah misi kru ke stesen angkasa yang pertama sejak stesen angkasa China memasuki fasa aplikasi dan perkembangan. Sebagai pakar muatan pasukannya, Gui akan menjalankan eksperimen sains dalam pelbagai bidang di stesen angkasa.

“Saya yakin kami dapat menyelesaikan tugas dengan usaha bersama,” ujar Gui.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan