Pembersihan Ruang Siber Sasar Penyebar Khabar Angin

(foto: IC)

Kira-kira 66,600 akaun ditutup terus ekoran tindakan keras pihak berkuasa terhadap profesional palsu

China baru-baru ini menutup 66,600 akaun media individu di media sosial dan dalam talian dalam tempoh dua bulan yang lalu sebagai sebahagian daripada kempen khas untuk membanteras penyebaran khabar angin, penipuan dan aktiviti keuntungan haram, kata Jabatan Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) pada 27 Mei.

Untuk mewujudkan ekosistem internet yang lebih sihat di China, agensi pentadbiran ruang siber telah menjalankan kempen khas berkenaan sejak 10 Mac.

Setakat 22 Mei, lebih 1.4 juta item kandungan haram di platform media sosial seperti Sina Weibo, Wechat dan Douyin telah dibuang, dan lebih 927,600 akaun terlibat ditangani, kata CAC dalam satu kenyataan.

Dalam kempen ini, pihak berkuasa mendapati sebahagian pengendali akaun media individu menyebarkan khabar angin tentang topik-topik hangat untuk menarik perhatian. Sejumlah 7,541 akaun telah ditutup terus kerana membuat atau menyebarkan khabar angin, menurut kenyataan itu.

279,600 akaun telah diambil tindakan kerana mencipta dan menggunakan identiti palsu organ kerajaan, pertubuhan tentera dan agensi media. Pihak berkuasa juga menyiasat akaun yang menggunakan istilah seperti "guru", "peguam" atau "doktor" pada nama mereka, sedangkan pengendali akaun tidak pernah mendapat sijil professional.

Sebahagian akaun didapati mengambil kesempatan daripada kumpulan lemah, termasuk warga emas, orang kurang upaya dan orang bawah umur, untuk mengejar keuntungan.

Ada antara kes kesalahan yang dikesan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

CAC dalam kenyataannya menekankan bahawa pihak berkuasa akan mengambil sikap tegas dalam menghukum pengendali akaun yang melanggar peraturan serta pengendali platform media sosial yang gagal melakukan penyeliaan sewajarnya.

Kempen terbaru ini merupakan sebahagian daripada "Operasi Qinglang" ("jelas dan terang" dalam bahasa Mandarin) yang dilancarkan oleh CAC pada 2021 dengan tujuan membentuk ekosistem internet yang lebih sihat.

Siri tindakan kempen khas untuk melindungi ekosistem ruang siber akan diteruskan pada 2023, untuk menangani sembilan isu yang telah menjejaskan pengalaman netizen China, termasuk ketidakteraturan media sosial, manipulasi makhlumat oleh penghasut internet dan serangan tidak wajar terhadap syarikat swasta dan sebagainya, kata CAC pada sidang akhbar pada bulan Mac.

Pihak berkuasa menghendaki platform internet dan media sosial merangka peraturan yang lebih ketat dan terperinci untuk mengawal pendaftaran, operasi dan penutupan akaun media individu, terutamanya yang menyiarkan kandungan tentang perubatan, undang-undang dan pendidikan.

Gaya Hidup