Senario Bola Sepak Kashgar Beri Sinar Buat Pasukan Kebangsaan China

(CRI)Selasa 06 Jun 2023

Pemandangan kanak-kanak tempatan di Kashgar yang sedang menggelecek dan merebut bola sepak di sekitar Kashgar adalah tidak asing bagi penduduk setempat.

Malah, apabila pertama kali tiba di Kota Purba Kashgar, ketika sedang menghirup kopi di jalanan sambil menonton mereka bermain bola sepak, kanak-kanak tersebut dengan mesranya mempelawa penulis untuk turut bersama-sama bermain dengan mereka àla joga bonito!

(Penulis dipelawa bermain bola sepak jalanan)

(Penulis dipelawa bermain bola sepak jalanan)

Sebut sahaja tentang pemain bola sepak terkemuka, kanak-kanak yang kelihatan penuh dengan tenaga meskipun sedang bermain di bawah cuaca panas tersebut mampu meniru gaya pemain bintang yang bermain di Eropah seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar. Ketika itu, penulis diberitahu bahawa sukan bola sepak merupakan sangat popular di serata Kashgar dengan terdapat lebih 82 ribu belia yang bermain secara harian.

‘AKADEMI’ BOLA SEPAK KASHGAR

Untuk mendalami tentang minat sukan bola sepak dalam kalangan pemuda Kashgar, penulis berpeluang ke Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage. Di situ, penulis menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak dilatih. Difahamkan, terdapat empat pemain profesional berstatus kebangsaan berjaya dilahirkan oleh sekolah tersebut.

(Penulis bersama-sama dengan pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage)

(Penulis bersama-sama dengan pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage)

Ketika bertemu dengan pengetua sekolah tersebut iaitu A’erslan Maihesuti, penulis difahamkan bahawa pihak sekolah sudah mula menyemai dan memupuk semangat bermain bola sepak mulai tahun 2006.

“Pada tahun 2012, kami secara rasmi menubuhkan pasukan bola sepak yang pertama. Sejak itu, masyarakat tempatan dan ibu bapa amat mementingkan perkara ini.

“Pada asalnya, kanak-kanak sini hanya dapat main bola di kampung atau luar pintu rumah sahaja, tanpa bantuan jurulatih profesional. Dengan adanya pasukan sekolah kami, ibu bapa sangat gembira dan berpusu-pusu menghantar anak masing-masing ke sekolah kami.

“Jadi, boleh dikatakan bahawa pembangunan pasukan bola sepak kami boleh mendapat sokongan yang begitu menggalakkan dari rakyat tempatan,” ujar beliau.

(A’erslan Maihesuti, Pengetua Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage)

(A’erslan Maihesuti, Pengetua Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage)

Lebih menarik, kanak-kanak yang dilatih secara profesional oleh jurulatih sepenuh masa tetap diberikan kebebasan untuk memilih karier sekiranya tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Malah, mereka akan dibimbing dan diberi kursus yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

MASA DEPAN BOLA SEPAK XINJIANG

Sekiranya diwawancara oleh masyarakat China, rata-rata akan memberikan pandangan positif tentang masa depan pasukan kebangsaan bola sepak lelaki dengan menyifatkan pemain dari Xinjiang sebagai harapan.

Komentar itu bukan sekadar pendapat kosong, tetapi ia disandarkan oleh statistik bola sepak tempatan.

Pada ketika ini, terdapat lambakan pemain bola sepak yang terhasil dari etnik Uygur Xinjiang. Dalam pasukan kebangsaan China bawah 20 tahun sahaja, sekurang-kurangnya terdapat enam pemain berasal dari Xinjiang.

Malah, kapten pasukan kebangsaan China bawah 20 tahun yang juga sedang dipinjamkan ke kelab bola sepak Mjällby AIF Sweden, iaitu Afrden Asqer, 19, turut merupakan anak jati dari Kashgar Xinjiang dan bakat yang dilahirkan oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Xiamalebage.

Untuk rekod, selain Afrden, terdapat tiga lain rakan sepasukannya yang berasal dari Kashgar iaitu Mutellip Iminqari, 20, Sherzat Nur, 19, dan Abdulla Adil, 20. Manakala, dua yang lain iaitu Behram Abduweli, 20, dan Mewlan Mijit, 19, pula masing-masing anak kelahiran Yili, Xinjiang.

PETANI RANCAK MAIN BOLA SEPAK

Lazimnya, para petani sinonim dengan hanya memerah keringat serta membanting tulang di sawah dan ladang.

Uniknya di Kashgar, kaum tani khususnya pemuda turut diberi galakan untuk bermain bola sepak dan terdapat juga pemain yang berjaya melebarkan sayap ke peringkat profesional dan semi-profesional.

Bagi pihak kerajaan tempatan, apabila menyedari tentang minat yang begitu mendalam terhadap bola sepak dalam kalangan para petani, satu revolusi untuk sukan itu di Kashgar telah dilakukan pada tahun mutakhir ini.

Kini, fasiliti padang bola sepak dengan kualiti dan saiz bertaraf profesional dapat dilihat di pelbagai tempat sekitar Kashgar dan kaunti-kaunti di bawahnya.

Ketika bersua dengan petani tempatan di kaunti Marabishi, Kashgar, penulis turut difahamkan bahawa masa lapang apabila tidak bertani dan di luar musim cucuk tanam digunakan oleh mereka untuk bermain bola sepak.

Dengan segala usaha yang ditumpukan terhadap pembangunan bola sepak di Kashgar atau Xinjiang secara keseluruhannya, adalah kedengaran tidak janggal apabila pemain bola sepak yang dihasilkan dari wilayah autonomi itu disifatkan sebagai penyelamat kepada pasukan lelaki bola sepak kebangsaan China pada masa depan.

OLEH: AHMAD SYUKRI AZMI

Gaya Hidup

Berita Berkaitan