PM Li Qiang Mulakan Lawatan di Jerman

(CRI)Isnin 19 Jun 2023

Perdana Menteri China, Li Qiang tiba di Lapangan Terbang Brandenburg, Berlin pada malam Ahad untuk memulakan lawatan rasmi ke negara itu, dan menghadiri rundingan antara kerajaan China-Jerman pusingan ketujuh.

Ketika berucap di lapangan terbang, beliau berkata bahawa Jerman adalah negara pertama yang dilawati beliau sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri China.

"Lawatan ini adalah untuk mengembangkan persahabatan tradisional dan meningkatkan kerjasama kedua-dua negara," kata beliau.

Li Qiang menyatakan bahawa pada tahun lepas, Presiden Xi Jinping dan Presiden Frank-Walter Steinmeier telah menzahirkan ucapan tahniah dan mengadakan perbualan menerusi telefon sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Jerman. Kedua-dua pemimpin telah memberi bimbingan strategik kepada perkembangan hubungan dua hala.

Dalam beberapa tahun lalu, hubungan antara China dengan Jerman berkembang secara mantap dan kerjasama kedua-dua negara dipergiat dan diperluas, sehingga mencapai hasil yang memuaskan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, sains dan teknologi, kebudayaan, dan pembangunan hijau.

Dalam rangka lawatan di Jerman, Li Qiang akan bertemu dengan Presiden Steinmeier, dan mengetuai rundingan antara kerajaan China-Jerman ketujuh bersama-sama Canselor Olaf Scholz.

Selain itu, beliau akan menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi dan Teknikal China-Jerman dan mesyuarat meja bulat usahawan China dan Jerman.

Beliau juga akan bertemu dengan wakil-wakil kalangan perniagaan Jerman, dan mengunjungi beberapa syarikat di negeri Bavaria.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan