Rai Pesta Perahu Naga, Semat Semangat Patriotisme

(CRI)Rabu 21 Jun 2023

Menjelang Pesta Perahu Naga yang jatuh pada 22 Jun, aktiviti lumba perahu diadakan di serata China antaranya Piala Dunia Perahu Naga 2023 anjuran Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) di kaunti Zigui, provinsi Hubei.

Kejohanan itu menarik penyertaan sejumlah 350 atlet yang terdiri daripada 15 pasukan dari dalam dan luar negara.

Pesta Perahu Naga, tali penghubung yang menyatukan rakyat, menjadi medium untuk mengenang jasa pahlawan dan keringat nenek moyang serta mengekspresikan perasaan cinta terhadap ibu pertiwi.

Terdapat beberapa legenda tentang asal usul pesta yang bersejarah lebih 2,500 tahun itu dan antara yang paling popular ialah kisah Qu Yuan, seorang keturunan bangsawan negeri Chu pada Zaman Negeri-Negeri Berperang (475 SM - 221 SM).

Pada tahun 278 sebelum Masihi, tentera negeri Qin berjaya menduduki ibu kota negeri Chu. Melihat tanah airnya di ambang kehancuran, Qu Yuan berasa sungguh kesal kerana tidak mampu menyelamatkan negeri Chu. Pada hari kelima bulan kelima menurut kalendar imlek, dengan rasa kecewa dan putus asa, beliau membunuh diri dengan memeluk batu besar lalu terjun ke Sungai Miluo.

Presiden China Xi Jinping menyifatkan patriotisme sebagai perasaan abadi yang terlahir dari lubuk sanubari, serta tunjang kepada kejayaan dan kemurnian peribadi seseorang insan.

Beliau pernah berulang kali menyebut tentang Qu Yuan dan memetik puisinya untuk memberi galakan kepada golongan belia.

Untuk rekod, Pesta Perahu Naga disenaraikan sebagai warisan budaya bukan benda oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada September 2009.

Ia sekali gus menjadi perayaan tradisional China pertama yang berjaya dimasukkan dalam senarai tersebut.

Gaya Hidup