China, Vietnam Komited Kukuhkan Hubungan Bilateral

(CRI)Rabu 28 Jun 2023

Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh komited mengukuhkan hubungan bilateral dalam pertemuan di sini pada Selasa. 

Xi menyifatkan China dan Vietnam sebagai komrad yang saling percaya yang mempunyai keakraban tinggi, rakan yang berusaha bersama untuk mewujudkan situasi saling untung dan sama menang, serta sahabat yang mempunyai ikatan persaudaraan.

“Kedua-dua pihak perlu mengamalkan konsep yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, dan saling menyokong dalam menempuh jalan sosialis yang sesuai dengan keadaan negara masing-masing dan merancakkan pemodenan yang bercirikan negara masing-masing.

“Kedua-dua pihak perlu mendorong pembinaan bersama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan(BRI) ke arah berkualiti tinggi, memperkasakan koordinasi dalam pelaksanaan strategi pembangunan masing-masing, saling memanfatkan kelebihan sumber milik masing-masing, dan meningkatkan kerjasama substantif dalam bidang yang melibatkan infrastruktur, kastam pintar dan tenaga hijau,” kata Xi.

Beliau berkata, China bersedia mengimport lebih banyak produk dari Vietnam yang sesuai untuk dijual dalam pasaran domestiknya.

Selain itu, Xi juga menggalakkan kedua-dua negara mengintensifkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya, meningkatkan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara, khususnya di golongan belia untuk mengukuhkan asas masyarakat bagi perkembangan hubungan dua hala.

Xi menambah, kedua-dua pihak perlu bersama-sama menentang tindakan “mencantas hubungan” , menolak tindakan mempolitikkan isu-isu dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi.

“Kedua-dua negara perlu memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa serta hak dan kepentingan pembangunan negara sendiri.

“Mendorong perkembangan orde antarabangsa ke arah yang lebih adil dan munasabah untuk mewujudkan persekitaran luaran yang aman dan stabil bagi pembangunan modenisasi kedua-dua negara,” kata Xi.

Pham Minh Chinh pula berkata, pihaknya konsisten melaksanakan dasar Satu-China, menyokong Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global.

“Vietnam menyokong keanggotaan China ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, dan akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam pembinaan BRI,” katanya.

Beliau menambah, Vietnam menentang tindakan mempolitikkan isu-isu ekonomi.

“Vietnam bersedia bekerjasama rapat dengan China untuk mengawal dan menangani pelbagai jenis risiko dan cabaran, dan tidak mengizinkan sebarang kuasa menjejaskan hubungan kedua-dua negara,” kata beliau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan