Demam Hanfu Meledak tatkala Keyakinan Budaya Meningkat

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 24 Julai 2023
Demam Hanfu Meledak tatkala Keyakinan Budaya Meningkat
Peminat Hanfu menganjurkan aktiviti promosi di pasar antik Panjiayuan di Beijing, ibu negara China, pada 14 Julai 2023. (Xinhua/Shen Anni)

Pada hujung minggu lalu, beberapa orang pemudi menjadi tumpuan perhatian ramai di pasar antik Panjiayuan yang terletak di Beijing, dengan busana anggun mereka yang berjela-jela dan bersulam halus. Mereka mengajak orang yang lalu-lalang membaca puisi-puisi kuno China, dan sesiapa yang berjaya dihadiahkan sekuntum bunga teratai.

Pemudi-pemudi berpakaian Hanfu ini merupakan ahli kelab mempromosikan budaya Hanfu, sejenis pakaian tradisional milik bangsa Han.

“Kami harap lebih ramai yang akan menghayati keindahan Hanfu dan budaya di sebaliknya,” kata Fu Jianmei, salah seorang penganjur aktiviti tersebut. Dia turut menambah bahawa pendekatan yang diambil pihaknya kali ini adalah dengan mencontohi acara-acara serupa yang diadakan di beberapa bandar termasuk Hangzhou, Changsha dan Kunming. Jelas sekali demam Hanfu sedang meledak kian hangat dalam kalangan generasi muda.

Terpesona dengan pakaian yang cantik-cantik, sebilangan pengunjung pasar antik berkenaan tampil menyahut cabaran hujung minggu lalu. Antaranya ialah Wang Ziyi, seorang budak perempuan berumur 10 tahun yang memiliki tiga set kostum ala Dinasti Tang (618-907).

“Saya suka akan Hanfu kerana nampak seperti pari-pari, dan gayanya mempunyai ciri China yang tersendiri,” katanya.

Kegilaan terhadap pakaian tradisional melanda seluruh negara pada tahun-tahun kebelakangan ini. Orang muda berpakaian Hanfu telah menjadi sesuatu yang biasa dilihat di jalanan di merata-rata tempat, terutamanya di bandar-bandar yang pernah menjadi ibu kota China pada zaman lampau seperti Xi’an dan Luoyang.

“Populariti Hanfu yang kian meningkat antara golongan muda timbulnya daripada penghayatan mereka terhadap budaya tradisional China dan keinginan untuk mengenakan pakaian yang bergaya unik China bagi memperlihatkan identiti budaya mereka,” kata Gao Wenjing, seorang pakar pakaian tradisional China di Muzium Seni Universiti Tsinghua.

Gao berkata, platform media sosial juga memainkan peranan sebagai pemangkin, dalam transformasi suatu hobi yang khusus kepada satu pasaran yang mencakupi khalayak umum.

Di platform blog mikro Weibo, hashtag “Hanfu” merekodkan lebih 7.88 bilion layaran setakat hari Ahad, sementara di applikasi perkongsian video Douyin (TikTok), klip berkaitan Hanfu telah ditonton lebih daripada 93.4 bilion kali.

Tinjauan oleh firma iMedia Research menganggarkan nilai pasaran Hanfu domestik mencecah 12.54 bilion yuan (bersamaan 7.9 bilion ringgit) pada tahun 2022 dan kemungkinan melonjak sehingga 19.11 bilion yuan pada 2025.

Bagi ramai orang muda di China, pemakaian Hanfu menjadi satu peringatan tentang warisan budaya dan sejarah mereka, juga sumber inspirasi untuk mereka mengenali khazanah yang diwarisi dengan lebih mendalam.

Yan Zimo, penggemar budaya tradisional, telah mengunjungi lebih 40 muzium di 20 bandar, setiap kali pun memakai sut Hanfu yang berbeza.

“Dengan memakai Hanfu yang dipilih mengikut tema-tema pameran, saya berasa lebih dekat dengan tinggalan dan sejarah. Pengalaman yang cukup hebat,” ujar Yan.

Satu lagi sebabnya Yan gemar mengenakan Hanfu ialah sifat pakaian tersebut yang longgar dan selesa, membolehkan dia bergerak bebas tanpa apa-apa halangan dan kesukaran.

“Hanfu benar-benar sepadan dengan cara pemikiran belia hari ini yang bebas dan inklusif,” tambahnya lagi.

Gao pula percaya ramai orang muda menjadi suka akan Hanfu setelah meningkatnya kesedaran terhadap budaya, sedangkan minat terhadap Hanfu itu pula mendorong mereka untuk menyelami lagi budaya dan sejarah China. “Ini satu kitaran yang cukup baik,” katanya.

Berita Berkaitan