Kuisin Pedas China Makin Popular di Asia Tenggara

Seorang tukang masak menyediakan kuisin Mala China di sebuah restoran di Pekan Cina Yangon, Myanmar pada 10 Mei 2023. (foto: Myo Kyaw Soe/Xinhua)

Sebungkus perencah stimbot pedas yang tercetak tulisan China dan Myanmar menarik perhatian ramai pada Forum Perniagaan Lancang-Mekong ke-5 yang diadakan pada awal Julai di Nanning, ibu kota wilayah autonomi Guangxi di selatan China.

Ramuan yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut diimport dari bandar Chongqing dan diproses di Yangon untuk memenuhi selera orang Myanmar.

"Makanan pedas dari China sampai ke meja makan orang Myanmar 10 tahun dulu," kata Sean Yann, pengeluar perencah stimbot pedas itu. Dia yang berusia 37 tahun berketurunan Cina dan fasih berbahasa Mandarin.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, "mala" iaitu hidangan pedas China yang rasanya boleh digambarkan sebagai "mengebaskan mulut", kian popular di Asia Tenggara.

Pelanggan mengambil sayur-sayuran untuk hidangan Mala China di sebuah restoran di Pekan Cina Yangon, Myanmar pada 10 Mei 2023. (foto: Myo Kyaw Soe/Xinhua)

Pelanggan mengambil sayur-sayuran untuk hidangan Mala China di sebuah restoran di Pekan Cina Yangon, Myanmar pada 10 Mei 2023. (foto: Myo Kyaw Soe/Xinhua)

Melihatkan populariti "mala" yang terus-menerus meningkat di Myanmar, syarikat Yann bekerjasama dengan pasar raya tempatan untuk memperkenalkan perencah stimbot pedas keluarannya. Walaupun produk mereka dipasarkan pada harga 1.5 kali ganda produk tempatan, namun mereka tetap mampu menjual sebanyak 20,000 hingga 30,000 paket sebulan. Yann turut memberitahu bahawa jenama-jenama perencah pedas lain juga laris dijual di pasar raya tempatan.

Dipacu oleh pelaksanaan dasar-dasar seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), skop kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN semakin luas, tanpa halangan sama ada terhadap perdagangan mahupun logistik. Ekoran perkembangan ini, makanan dengan cita rasa China seperti "mala" dapat memasuki pasaran Asia Tenggara menerusi saluran yang lebih pelbagai dan efisien.

Pada Forum Perniagaan Lancang-Mekong ke-5, lebih 100 wakil industri dari negara-negara anggota Kerjasama Lancang-Mekong (LMC) iaitu China, Kemboja, Myanmar, Laos, Thailand dan Vietnam, membincangkan peluang usaha niaga bersama membabitkan pertanian dan pemprosesan makanan.

Pengarah eksekutif Institut Mekong, Suriyan Vichitlekarn menyatakan bahawa akhir-akhir ini, aktiviti pemasaran dan perdagangan sesama anggota LMC yang melibatkan industri pemprosesan makanan ternyata rancak. Ini sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk kerjasama akan datang.

Beliau dalam tempoh forum memetik beberapa faktor yang menyumbang kepada perkembangan positif ini. Antaranya, langkah mempercepat kesalinghubungan infrastruktur serta sistem logistik yang semakin baik banyak memberi impak. Begitu juga pertambahan ketara dalam permintaan terhadap produk makanan, perubahan dalam pola penggunaan, serta kemajuan teknologi dalam aspek pemprosesan dan pembungkusan makanan.

Berita Berkaitan