China Berperanan Penting dalam Kestabilan Keselamatan Makanan Global

(CRI)Rabu 23 Ogos 2023

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) pada Selasa menzahirkan penghargaan tinggi kepada China atas sumbangan positifnya selama empat dekad terhadap keselamatan makanan dunia. 

Wakil FAO di China, Carlos Watson berpendapat, negara Tembok Besar berjaya menjamin sumber makanan buat rakyatnya yang berpopulasi satu perlima daripada penduduk sejagat dengan menggunakan hanya sembilan peratus tanah pertanian dan enam peratus sumber air tawar di dunia.

Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sumbangan besar kepada keselamatan makanan global.

"Sebagai salah satu pengeluar, pengguna, pengeksport dan pengimport produk pertanian terbesar di dunia, China yang mampan dalam bidang bekalan, stok, perdagangan dan penggunaan bijirin telah memainkan peranan penting dalam pasaran makanan antarabangsa serta keselamatan makanan global."

"Pada masa sama, China telah menjadi rakan kerjasama strategik FAO dalam mempromosikan kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama trilateral dalam bidang pertanian," kata Watson.

Tambah beliau, pihaknya menyelesaikan lebih 40 isu berkaitan di China.

"Kami berasa amat bangga menjadi rakan kongsi China dalam mencapai matlamat yang cemerlang," ujar Watson sambil menyifatkan perubahan drastik di China sebagai sangat mengagumkan.

"Selain itu, kami menyaksikan China bersedia berkongsi pengalaman sendiri dengan negara-negara lain untuk membantu negara-negara membangun lain mencapai matlamat pembangunan mereka," katanya.

Video