Tokoh: BRI Pacu Pembangunan Prasarana, Perdagangan, Pelaburan di Kemboja

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 04 September 2023

Lebuh raya pertama di Kemboja yang dibina oleh syarikat China beroperasi pada 1 Oktober 2022. (Foto/Xinhua)

Lebuh raya pertama di Kemboja yang dibina oleh syarikat China beroperasi pada 1 Oktober 2022. (Foto/Xinhua)

Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) saranan China telah memainkan peranan yang tidak terperi pentingnya dalam mendorong pembangunan prasarana di Kemboja seiring dengan kesalinghubungan, yang dianggap kunci bagi menyokong perdagangan dan menarik pelaburan. Demikian pandangan yang disuarakan seorang sarjana Kemboja Khamis lalu.

Kin Phea, ketua pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Kemboja, mengulas bahawa di bawah BRI, China telah menyokong banyak projek mega di Kemboja misalnya pembinaan jalan raya, jambatan, lebuh raya, loji kuasa hidro, zon ekonomi khas, lapangan terbang, pelabuhan, dan juga sebuah stadium utama.

“Projek-projek berskala besar ini telah banyak menyumbang kepada kesalinghubungan, di samping menjamin bekalan elektrik yang lestari, merangsang daya saing ekonomi, mempelbagaikan penjana pertumbuhan, dan mengurangkan kos logistik di Kemboja,” jelasnya kepada Xinhua.

Phea berkata, Zon Ekonomi Khas Sihanoukville (SSEZ), yang merupakan projek utama negaranya di bawah BRI, telah mencipta puluhan ribu peluang kerja untuk penduduk tempatan selain membantu merancakkan pertumbuhan eksport.

“Sejak projek-projek usaha sama di bawah BRI dilancarkan sedekad lalu, ikatan perdagangan dan pelaburan antara Kemboja dan China telah melonjak ke satu tahap baharu,” ujarnya.

“BRI, bersama-sama dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Kemboja-China, akan membantu Kemboja merealisasikan visi ke arah status negara berpendapatan menengah atas menjelang tahun 2030 dan negara berpendapatan tinggi menjelang 2050,” tambahnya lagi.

BRI, gagasan yang merujuk kepada Jalur Ekonomi Jalan Sutera dan Jalan Sutera Maritim Abad ke-21, disarankan oleh China pada 2013 dengan tujuan membina jaringan perdagangan dan prasarana yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika, menjangkaui laluan perdagangan Jalan Sutera purba.

Memetik kenyataan seorang jurucakap dari kementerian luar China pada 4 Ogos, lebih 150 negara dan lebih 30 pertubuhan antarabangsa telah memeterai dokumen di bawah rangka kerja BRI sepanjang dekad lalu.

Phea mengatakan, BRI telah membawa limpahan manfaat kepada negara-negara yang terlibat dan telah menjadi satu strategi jangka panjang untuk menggalakkan kesalinghubungan dan kerjasama dalam segenap aspek baik di rantau ini mahupun antara rantau berbeza. Hasilnya dapat dilihat dari segi prasarana, kesalinghubungan, ekonomi, pelaburan, kewangan, dan pertukaran sesama rakyat.

“BRI ternyata pengubah yang berkesan dalam mencorak order dunia baharu, malah satu daya sejagat yang membawa keamanan, keselamatan, kestabilan, pembangunan, kemakmuran, dan keharmonian,” katanya.

Sarjana itu turut menambah bahawa BRI kini dipandang sebagai inisiatif global yang akan membina sebuah jalan sutera bercirikan kedamaian ke arah globalisasi ekonomi yang gemilang, lebih terbuka, lebih stabil dan lebih mampan.

Video

Berita Berkaitan