China, Venezuela Naiktaraf Hubungan kepada Perkongsian Strategik Sepanjang Masa

(CRI)Khamis 14 September 2023

Hubungan antara China dengan Venezuela dinaiktaraf ke peringkat perkongsian strategik sepanjang masa.

Perkara itu diumumkan bersama oleh Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Nicolas Maduro Moros semasa pertemuan empat mata di sini pada Rabu.

Tahun depan menandakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik China-Venezuela.

Xi meluahkan kesediaan bersama-sama Presiden Maduro merangka cetak biru pembangunan hubungan dua hala dan memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang sehingga membawa limpahan manfaat kepada rakyat dua negara, sekali gus menyuntik tenaga positif kepada kedamaian dan pembangunan dunia.

Beliau berkata China ingin merapatkan lagi pertukaran sosiobudaya dengan Venezuela dan menyokong program pengajaran bahasa Cina dilaksanakan di negara itu.

"China akan mengimport lebih banyak produk berkualiti dari Venezuela.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Venezuela yang menjadi negara pertama di rantau Amerika menyertai program kerjasama International Lunar Research Station (ILRS) yang dilancarkan atas inisiatif China," ujar Xi.

Dalam pada itu, Maduro berkata Venezuela bersedia menimba pengalaman China dalam pembangunan zon ekonomi khas, di samping memperdalam kerjasama pragmatik melibatkan pertanian, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

"Pihak kami akan terus mempererat komunikasi dan kolaborasi dengan China dalam rangka multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mekanisme BRICS.

"Kami juga bersedia bersama-sama menjaga multilateralisme dan kepentingan sah negara membangun, serta menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata beliau.

Video

Berita Berkaitan