China, Rusia Berpegang Teguh Pada Multilateralisme Sebenar -- Wang Yi

(CRI)Selasa 19 September 2023
China, Rusia Berpegang Teguh Pada Multilateralisme Sebenar -- Wang Yi

Menteri Luar China Wang Yi berkata, dalam menghadapi amalan unilateralisme, hegemonisme dan konfrontasi blok yang berleluasa, China dan Rusia perlu berpegang teguh pada multilateralisme yang sebenar.

Wang yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata demikian semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov di Moscow, Rusia pada Isnin.

Wang berkata, baik China mahupun Rusia mengamalkan dasar luar yang bebas dan mandiri, dengan kerjasama dua hala tidak menyasarkan pihak ketiga, dan tidak akan terganggu dan terpengaruh oleh pihak ketiga.

"Sebagai kuasa besar di dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China dan Rusia memikul tanggungjawab utama untuk mengekalkan kestabilan strategik global dan memacu pembangunan dan kemajuan dunia.

"Kedua-dua negara harus bergerak mengikuti trend perkembangan zaman, menggalas tanggungjawab yang serasi dengan kuasa besar, dan menanggung kewajiban antarabangsa yang sewajarnya,” kata Wang.

Wang juga menyeru kedua-dua pihak menegakkan multilateralisme yang sebenar, menggalakkan proses multipolarisasi di dunia dan mendorong pembangunan tadbir urus global ke arah yang lebih adil dan munasabah melalui usaha memperkukuhkan penyelarasan strategik.

Lavrov pula menyifatkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Rusia dan pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada bulan March lalu sebagai menggariskan hala tuju untuk masa depan hubungan Rusia-China.

"Pihak Rusia bersedia bekerjasama dengan China untuk membuat persiapan bagi pertukaran peringkat tinggi seterusnya dengan berpandukan arahan pemimpin kedua-dua negara, memperhebat penyelarasan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan negara masing-masing, dan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi dan perdagangan, sosiobudaya, sukan, dan pertukaran di kalangan belia.

"Di tengah-tengah perubahan situasi antarabangsa yang rumit dan drastik, Rusia dan China patut mengukuhkan lagi koordinasi dan kerjasama dalam kerangka pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai demi memelihara norma-norma asas hubungan antarabangsa,” kata Lavrov.

Lavrov juga menambah, Rusia akan memainkan peranannya sebagai pengerusi bergilir BRICS untuk bekerjasama dengan China demi perkembangan mekanisme kerjasama BRICS.

Selain itu, Lavrov juga berkongsi pandangannya mengenai krisis Ukraine dan menyatakan penghargaan terhadap dokumen pendirian China yang mengambil kira keprihatinan keselamatan pelbagai pihak dan kondusif bagi mengenalpasti dan menghapuskan punca konflik terbabit.

"Pihak Rusia akan terus bersikap terbuka terhadap rundingan dan dialog,” katanya.

Wang Yi pula berkata, China berpendirian konsisten tentang hala tuju rundingan damai yang betul dan akan memainkan peranan konstruktif dalam penyelesaian krisis secara politik dengan pendekatan tersendiri.

Video