Naib Pengerusi IOC: Presiden Xi, Rakan Penting Usaha Olimpik

(CRI)Selasa 26 September 2023

Naib Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Juan Antonio Samaranch Jr yang menghadiri siri aktiviti Sukan Asia ke-19 di Hangzhou telah menerima wawancara wartawan Agensi Berita Xinhua semalam.

Dalam wawancara tersebut, beliau mengatakan bahawa Presiden China Xi Jinping merupakan rakan penting bagi usaha Olimpik, dan keinsafan serta sokongan yang ditunjukkannya terhadap sukan dianggap penting bagi usaha Olimpik.

Sebagai pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing IOC, Samaranch Jr pernah menyaksikan proses pembidaan dan penganjuran temasya sukan itu, dan kagum dengan sumbangan rakyat China di bawah pimpinan Presiden Xi terhadap pembangunan usaha Olimpik.

Samaranch Jr berkata, "saya masih ingat lagi ketika saya menyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan IOC, Presiden Xi pernah berkata, diharapkan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing meninggalkan satu warisan sebegini, iaitu menjadikan jumlah orang China yang terlibat dalam sukan ais dan salji mencecah 300 juta."

"Ini bukan sahaja cita-cita mulia, malah matlamat besar. Pada saat sebelum perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, matlamat tersebut sudah direalisasikan menjadi kenyataan", tambah beliau.

Api suci Sukan Asia yang dinyalakan di Stadium Pusat Olimpik Hangzhou, pinggir sungai Qiantangjiang pada 23 September lalu, menjadikan negara Tembok Besar tuan rumah temasya itu buat kali ketiga. Samaranch Jr turut menyanjung tinggi upacara perasmian terbabit yang memperlihatkan gabungan teknologi inovatif dan pesona sosiobudaya tempatan, dan menyifatkannya "bertaraf Sukan Olimpik".

Pada pandangan Samaranch Jr, China memainkan peranan penting dalam usaha Olimpik. Sukan Universiade Musim Panas diadakan secara jayanya di Chengdu pada beberapa minggu yang lalu, seterusnya Sukan Asia ke-19 sudah membuka tirai di Hangzhou, kemudian Sukan Sedunia bakal diadakan pada 2025 beserta Sukan Asia Musim Sejuk di Harbin. Kesemua ini membuktikan China telah menjadi salah sebuah negara penganjur temasya sukan yang paling penting.

Video

Berita Berkaitan