Kereta Api Buatan China Perkasa Penduduk Tempatan Cari Rezeki Sendiri

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 13 Oktober 2023
Kereta Api Buatan China Perkasa Penduduk Tempatan Cari Rezeki Sendiri
Tren penumpang Lane Xang Kereta Api China-Laos melintasi pusat penyelenggaraan di Luang Prabang, Laos, 30 Mac 2023. (Foto Zhou Xing/Xinhua)

Tidak pernah terlintas di fikiran Wawan Setiawan, seorang pemandu tren kargo di Indonesia yang berpengalaman selama 10 tahun untuk memandu kereta api dengan kelajuan 350 kilometer sejam.

Kini, lekaki itu bukan sahaja berada di landasan untuk menjadi antara pemandu kereta api laju pertama di Indonesia, malah juga di Asia Tenggara.

Pada 2020, tatkala usaha sama China-Indonesia membina Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung mula mengambil pemandu tren, Wawan pantas membuat permohonan untuk bekerja.

"Teknologi, operasi, kaedah keselamatan, semua yang saya pelajari adalah baharu dan menarik," katanya yang turut menerima latihan daripada pemandu kereta api berkelajuan tinggi China sejak itu.

"HIDUP SEMAKIN LAJU"

Mu Zhen, mentor kepada Wawan, ialah pemandu kereta api China untuk HSR Jakarta-Bandung, yang menghubungkan ibu kota Indonesia dengan bandar keempat terbesarnya.

Ketika melakukan simulator operasi, Mu memberi nasihat kepada Wawan supaya melonggarkan genggaman apabila tangan kanan pemandu Indonesia itu menggenggam erat pemegang kawalan kelajuan.

"Ketegangan boleh menyebabkan kesalahan operasi kerana pemegangnya mempunyai sensitiviti yang tinggi.

"Saya teruja untuk memberi tunjuk ajar kepada pemandu kereta api Indonesia dan gembira untuk berkongsi kemahiran. Saya juga sedang belajar bahasa Indonesia untuk mengatasi rintangan bahasa," kata beliau.

Untuk rekod, Mu tiba di Indonesia pada Oktober lalu dan telah bersiap sedia untuk operasi landasan kereta api itu.

“HSR Jakarta-Bandung dibina dengan standard dan teknologi China, jadi perasaan memandu kereta api laju di sini sama seperti di China,” ujarnya lagi.

Sebagai projek mercu tanda di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China, HSR Jakarta-Bandung sepanjang 142 kilometer mengurangkan perjalanan antara kedua-dua bandar daripada lebih tiga jam kepada kira-kira 40 minit sahaja.

“Pembangunan kereta api laju akan menggalakkan ekonomi yang lebih besar kerana ia akan menyokong pergerakan yang lebih pantas,” kata Wawan.

Dia turut menzahirkan harapan agar landasan kereta api laju itu dapat diperluas ke Surabaya, iaitu bandar raya dan pelabuhan laut kedua terbesar di Indonesia.

“Saya belajar bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik untuk memastikan saya boleh menjadi antara pemandu kereta api laju pertama di Indonesia dan Asia Tenggara.

"Jika kehidupan adalah kereta api yang berjalan di atas trek, maka hidup saya kini juga dipercepatkan, iaitu sangat pantas, sangat mengujakan dan penuh harapan," tambah Wawan.

"CARI REZEKI SENDIRI"

China telah membina landasan, pelabuhan dan infrastruktur lain dengan negara anggota BRI, yang turut membantu meningkatkan ketersambungan serantau dan mewujudkan pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Misalnya, seksyen Laos Kereta Api China-Laos yang dilancarkan pada Disember 2021, telah mencipta lebih daripada 110,000 pekerjaan. Sida Phengphongsawanh yang berusia 24 tahun merupakan salah seorang yang mendapat manfaat daripadanya.

Dia berkhidmat sebagai pemeriksa kereta api di Pusat Pengurusan Operasi Vientiane Keretapi China-Laos pada 2021 selepas belajar automasi elektrik di China selama empat tahun, dan menerima latihan dalam bahasa Cina dan pengetahuan kereta api di Institut Confucius di Laos.

"Mentor di sini begitu sabar dalam melatih saya. Oleh sebab kami kali pertama mengendalikan kereta api sebenar, jadi semuanya terasa baharu, dan mereka mengajar kami satu persatu dengan penuh sabar," kata Sida.

Wen Bin, 58, merupakan mentor kepada Sida, dan mula bekerja di Laos sejak Oktober 2011. Beliau berkata, kakitangan China akan memastikan kakitangan tempatan seperti Sida boleh bekerja secara bebas selepas rakan sekerja dari China tidak lagi berada di situ.

"Kami merekrut kakitangan tempatan baharu. Tidak ramai yang berbahasa Cina, jadi saya berharap Sida dan rakan sekerjanya dapat memikul tanggungjawab menggunakan bahasa mereka sendiri untuk mengajar generasi baharu," kata beliau.

PENGUBAH KEADAAN

Di Laos, satu-satunya negara dikelilingi daratan di Asia Tenggara, Kereta Api China-Laos sepanjang 1,035 kilometer telah membantu negara itu menjadi hab pengangkutan di Semenanjung Indo-China.

Kereta api itu menghubungkan ibu kota Laos, Vientiane, dengan provinsi Yunnan di barat daya China, dengan kelajuan reka bentuk 160 kilometer sejam untuk seksyen Laos.

"Kawan-kawan di kampung halaman saya memberitahu saya bahawa perjalanan telah menjadi lebih mudah. Dulu, perjalanan dari kampung halaman saya ke Vientiane mengambil masa 10 jam, tetapi kini hanya mengambil masa tiga jam dengan kereta api," kata Sida.

Setakat ini, sejumlah 152 negara dan 32 organisasi antarabangsa telah menandatangani dokumen kerjasama dengan China di bawah BRI yang dicadangkan pada 2013.

Sepanjang sedekad yang lalu, lebih 421,000 pekerjaan tempatan telah diwujudkan secara global di bawah kerjasama BRI.

Memetik laporan Bank Dunia, projek BRI mampu membantu mengeluarkan 7.6 juta orang daripada kancah kemiskinan tegar dan 32 juta daripada kemiskinan sederhana di seluruh dunia menjelang 2030.

"BRI ialah satu inisiatif yang hebat. Saya berpendapat bahawa Kereta Api China-Laos hanyalah titik permulaan (di rantau ini).

“Ia akan menghubungkan lebih banyak negara pada masa hadapan, membolehkan kami pergi ke luar negara dengan lebih mudah," ujar Sida.

Video

Berita Berkaitan