Saintis Puji Ketepatan Data Satelit

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 01 Disember 2023

Satelit Sains Macao I di angkasa lepas. (foto/China Daily)

Satelit Sains Macao I di angkasa lepas. (foto/China Daily)

Rangkaian Satelit Sains Macao I, iaitu sistem pemantauan geomagnet berasaskan ruang angkasa terkemuka China menarik perhatian saintis dari seluruh dunia dengan pencapaian luar biasa yang diperoleh baru-baru ini.

Menurut Pengarah Institut Teknologi dan Aplikasi Angkasa Makau, Zhang Keke, penyelidikan terhadap medan geomagnet adalah salah satu sfera sempadan dalam komuniti sains antarabangsa, dan rangkaian dua satelit mampu mengesan serta mengukur dengan tepat pemboleh ubah ruang-masa medan magnet Bumi.

"Dengan adanya data yang diperolehi satelit, kami mampu mencapai kejayaan dalam beberapa bidang. Sebagai contoh, kami telah mencipta versi pertama model magnet dunia yang mempunyai potensi besar terhadap penerokaan angkasa jauh dan laut dalam, pengangkutan udara dan laut, serta pencarian sumber asli."

"Buat pertama kalinya di China, kami juga menghasilkan peta anomali magnet litosfera global dan mendedahkan struktur magnet pergerakan pasang surut global," kata Zhang dalam temu bual eksklusif pada Selasa.

Kata saintis itu lagi, rangkaian dua satelit itu juga mempunyai keupayaan dan ketepatan pengesanan bertaraf dunia.

"Amat sukar untuk mengukur vektor medan magnet planet kita. Besar kemungkinan data medan magnet yang diperolehi satelit kita adalah yang paling tepat di dunia," tambah Zhang.

Selepas menyaksikan kejayaan sistem satelit tersebut, Royal Astronomical Society di London, United Kingdom, akan mengadakan bengkel untuk saintis dari 11 negara bagi membincangkan nilai saintifik data.

Setakat ini, sebanyak 18 organisasi asing telah menandatangani perjanjian penyelidikan bersama dengan pasukan Zhang.

Memetik pengumuman pada Selasa, Satelit Sains Macao 1A dan 1B telah memulakan operasi rasmi selepas menjalani percubaan dalam orbit selama enam bulan.

Dibangunkan bersama oleh saintis dari tanah besar dan pasukan Zhang di Universiti Sains dan Teknologi Makau, satelit itu dilancarkan ke angkasa lepas pada 21 Mei.

Sepanjang enam bulan lalu, kedua-dua satelit telah menjalankan pelbagai ujian.

Untuk rekod, platform satelit direka dan dibina oleh Akademi Teknologi Angkasa China di Beijing dan Universiti Politeknik Barat Laut di Xi'an, provinsi Shaanxi.

Manakala, peralatan saintifik pada satelit termasuk magnetometer medan vektor, spektrometer elektron bertenaga, magnetometer keadaan gelap yang digabungkan dan pengesan sinar-X suria pula disediakan oleh Zhang dan rakan sekerjanya.

Kedua-dua satelit itu ditugaskan untuk mendapatkan data pada lapisan berbeza sistem Bumi di Atlantik Selatan dengan mengesan kawasan anomali geomagnet; mengkaji asal usul dan evolusi medan geomagnet serta mekanisme penyongsangan geomagnet; selain melukis peta geomagnet litosfera pada ketepatan dan resolusi tinggi.

Pentadbiran Angkasa Negara China dalam satu kenyataan memberitahu bahawa satelit itu adalah satelit saintifik pertama di dunia yang dimasukkan ke orbit hampir khatulistiwa untuk mengkaji persekitaran angkasa dan medan geomagnet, khususnya Anomali Atlantik Selatan, dari angkasa lepas.

"Medan magnet di atas Anomali Atlantik Selatan adalah yang paling lemah di Bumi. Sebarang kenderaan buatan manusia yang bergerak di rantau ini, dari kapal jet hingga kapal angkasa, lebih terdedah kepada kesan zarah tenaga tinggi dari matahari."

“Hasil daripada penyelidikan kami akan digunakan untuk meningkatkan operasi serta keselamatan pesawat dan kapal angkasa," kata Zhang.

Video

Berita Berkaitan