Penyair Dinasti Song, Bintang Produksi Pentas Baharu

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 11 Disember 2023

Penari membuat persembahan dalam produksi tarian kontemporari, Dongpo: Life in Poems, yang dipentaskan di Beijing dari 1 hingga 3 Disember 2023. (foto/China Daily)

Penari membuat persembahan dalam produksi tarian kontemporari, Dongpo: Life in Poems, yang dipentaskan di Beijing dari 1 hingga 3 Disember 2023. (foto/China Daily)

Penari, pereka tari, pelukis dan artis visual Shen Wei sering menjadikan masa lalu sebagai sumber inspirasi.

Salah satu karya epiknya, Scroll Painting, yang dipersembahkan sebagai sebahagian daripada upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas Beijing 2008, telah ditonton oleh berbilion orang di seluruh dunia.

Karya terbarunya adalah sebuah produksi tarian kontemporari iaitu Dongpo: Life in Poems yang beralih kepada budaya dan sejarah tradisional China sekali lagi, dan kali ini memfokuskan kepada Su Dongpo, seorang penyair Dinasti Song (960-1279).

Selama berbulan-bulan, Shen melakukan penyelidikan ke atas Su, membaca puisinya serta mempelajari tentang lelaki yang menguasai banyak bentuk sastera dan seni klasik termasuk puisi dan esei serta kaligrafi dan lukisan.

"Sejarah adalah sumber idea yang baik, dan meninggalkan banyak ruang untuk imaginasi," katanya.

Shen memilih 15 puisi Su selepas membaca kira-kira 2,000 daripadanya, yang menjadi asas kepada enam babak, dengan setiap satunya menyentuh aspek berbeza dalam kehidupan penyair termasuk perpisahan yang menyakitkan dengan isteri tercinta.

Adegan dari produksi tarian kontemporari artis Shen Wei, Dongpo: Life in Poems, yang menampilkan bait-bait puisi oleh penyair Dinasti Song (960-1279) Su Dongpo dan salah satu lukisannya. (foto/China Daily)

Adegan dari produksi tarian kontemporari artis Shen Wei, Dongpo: Life in Poems, yang menampilkan bait-bait puisi oleh penyair Dinasti Song (960-1279) Su Dongpo dan salah satu lukisannya. (foto/China Daily)

Selain puisi, Shen menggunakan lukisan dakwat Su, Buluh Xiaoxiang dan Gambar Batu serta lukisannya sendiri, Tanpa Judul No 8, No 6 dan No 11, dalam mengilhamkan set pentas.

"Latihan yang diberikan Shen kepada para penari adalah unik kerana dia mempunyai sistem tersendiri. Dia tidak meminta kami membuat persembahan dengan badan kami, tetapi dengan hati kami," kata Su Peng, salah seorang penari utama.

Karya tersebut turut mendapat maklum balas yang pelbagai dan terdapat sejumlah penonton teater yang meluahkan kekaguman.

Menurut mereka, karya seperti itu tidak pernah dilihat sebelum ini. Ada juga penonton yang menyatakan bahawa produksi itu memberi cabaran kepada mereka untuk faham.

"Saya telah bersedia untuk mendapat reaksi yang berbeza. Saya berharap orang ramai akan tetap berfikiran terbuka tentang seni. Seperti mendengar burung menyanyi atau menghidu haruman bunga, satu pengalaman yang tidak dapat diluahkan," kata Shen.

Shen melakukan penyelidikan di studionya. (foto/China Daily)

Shen melakukan penyelidikan di studionya. (foto/China Daily)

Pada tahun 2000, Shen mengasaskan syarikatnya sendiri, Shen Wei Dance Arts yang berpangkalan di New York.

Tahun lepas, dia telah diberi penghormatan dengan Anugerah Festival Tarian Amerika bagi pencapaian seumur hidup.

"Kami mungkin tidak selalu memahami budaya yang berbeza, tetapi kami boleh menghargai persembahan, dan kami boleh menghargai seni. Itulah keindahan pergerakan. Dan itulah keindahan tarian," katanya.

Video

Berita Berkaitan