Anyaman Buluh Nandu: Dari Hujung Jari, Ke Seberang Lautan Luas

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 11 Disember 2023

Di Nandu, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, tersimpan sejenis warisan budaya tidak ketara yang boleh dikatakan sudah bersinonim dengan nama pekan ini. Dibina kira-kira seribu tahun dahulu, pekan Nandu merupakan penyimpan teknik kraf tangan anyaman buluh.

Mo Yinglian, seorang penduduk pekan yang berusia 61 tahun, adalah pewaris kepada kemahiran tradisional ini.

Lebih 40 tahun berkecimpung dalam industri ini, Mo telah mereka dan menghasilkan lebih 450 jenis produk anyaman buluh dan rotan. Disebabkan mutu ketukangan Mo yang sangat halus, hasil tangannya telah meraih pelbagai anugerah industri, malahan dijual hingga ke Asia Tenggara, Eropah dan Amerika.

Beliau menjelaskan, teknik anyamannya melibatkan berdozen-dozen langkah rumit.

Produk yang dihasilkan melalui teknik tersebut adalah praktis dan mesra alam. Di mata ramai pengguna, membeli produk anyaman buluh adalah satu bentuk penghormatan terhadap ketukangan tradisional ini.

“Rekaan produk yang pintar telah menjadikan kraf tangan tradisional ini popular di seberang laut,” kata Liu Juanhong, naib ketua eksekutif pekan Nandu.

Kini, rangkaian produk anyaman buluh keluaran tempatan telah meningkat daripada tidak sampai 100 jenis kepada lebih 1,000, dan 200 daripadanya dikategorikan sebagai paling laris.

Syarikat-syarikat pengeluar produk anyaman buluh Nandu menggunakan bahan mentah seperti kepingan buluh, rotan, kepingan kayu dan dawai besi untuk menghasilkan produk buluh-rotan, buluh-kayu, dan buluh-besi, yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

Industri anyaman buluh Nandu telah naik sebagai industri tipikal pekan, dengan adanya 16 syarikat yang mengkhusus dan lebih 5,000 orang terlibat dalam sektor berkenaan, menjana output tahunan melebihi 80 juta yuan (kira-kira 52 juta ringgit).

Mo juga membaktikan diri kepada cabang seninya melalui cara lain, iaitu dengan mempromosikan kemahiran menganyam buluh di sekolah-sekolah. Beliau mengajar di pelbagai kolej dan universiti, melatih perantis, dan memupuk pewaris. Menerusi usaha padu pihak-pihak terlibat, latihan kemahiran menganyam buluh dilakukan dengan sistematik.

“Nandu akan mempromosikan pengeksportan produk anyaman buluh dan jejanggut menerusi ekspo antarabangsa, pameran perdagangan dan aktiviti-aktiviti lain,” ujar Liu.

Pegawai itu menambah bahawa pekan Nandu akan meneroka saluran jualan baharu seperti platform e-niaga rentas sempadan untuk memperluas pasaran produk anyaman buluh di luar negara.

“Seiring dengan kemajuan kerjasama e-niaga rentas sempadan antara China dan ASEAN, saya yakin platform sedemikian akan mempermudah pembangunan industri anyaman buluh,” Liu berkata.

Video

Berita Berkaitan