Minat Terhadap Bunga Kaca Terus Mekar

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 02 November 2023
Minat Terhadap Bunga Kaca Terus Mekar
Karya seni kaca yang diinspirasikan daripada bunga istimewa dari bandar-bandar di China oleh He Yang dan rakan sekerjanya, dihasilkan di Changsha, provinsi Hunan. (foto/China Daily)

Dengan menggunakan penunu yang menghasilkan nyalaan api melebihi 1,300 darjah Celsius dan tiub kaca cair untuk mencipta karya seni, He Yang yang berusia 23 tahun ingin menghasilkan satu pemandangan berbunga yang mewakili semua bandar di China.

Selepas tamat pengajian dari Universiti Changsha pada Jun, He membuka kedai kaca lampu di jalan Chaozong, Changsha, provinsi Hunan, bersama-sama dengan tiga rakan sekelasnya, yang kesemuanya mengambil jurusan reka cipta pakaian.

Selepas menyiarkan video dirinya menghasilkan kekwa kaca, iaitu bunga rasmi bandar Beijing, bilangan pengikutnya di media sosial turut meningkat dengan ketara.

"Kami biasanya mengambil masa lebih daripada satu minggu untuk membuat bunga, dan kami telah selesai membuat 10 jenis yang berbeza, tetapi kami berhasrat untuk membuat kesemua 600 atau lebih bunga rasmi bandar di China," katanya.

Semasa Sukan Asia ke-19 yang diadakan di Hangzhou, provinsi Zhejiang baru-baru ini, He turut membuat satu set lebih daripada 200 bunga osmanthus yang berasal dari keluarga bunga Jasmin serta turut merupakan bunga rasmi bagi bandar Hangzhou.

Difahamkan, pemuda tersebut mengambil masa dua minggu untuk menyiapkannya.

"Bunga kaca ini bukanlah ditiru bulat-bulat daripada yang sebenar. Kita perlu mencari cara untuk memastikan ia boleh dibuat menjadi kaca, sambil mengekalkan sifat bunga itu.

"Kunci kepada kerja kami ialah memastikan bunga itu cantik dan sedap dipandang mata,” kata He sambil menyifatkan semua bunga sebagai unik.

Katanya, dia cuba menanamkan sifat sabar dalam dirinya dan menyatakan bahawa adalah mustahil untuk membuat sebarang seni Cina tanpa kesabaran.

Video

Berita Berkaitan