Pembaharuan dan Pintu Terbuka Kunci Jayakan Strategi '3820'

(CRI)Isnin 22 Januari 2024

Projek strategik '3820' merupakan sebuah gagasan yang mencakupi matlamat, langkah terperinci, susun atur serta keutamaan pembangunan sosioekonomi Fuzhou untuk tempoh tiga tahun, lapan tahun dan 20 tahun.

Kerja penggubalan strategi itu diketuai oleh Xi Jinping ketika beliau menyandang setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di bandar Fuzhou.

Usaha menggerakkan pelaksanaan projek berkenaan menerusi pemerkasaan pembaharuan dan keterbukaan juga merupakan cetusan minda beliau.

Menurutnya, pembaharuan membawa kedinamikan manakala keterbukaan membekalkan kekuatan.

Usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memberi peluang kepada China dan Indonesia untuk bersinergi membina 'gudang ikan di laut'.

Di Zon Pelaburan Yuanhong di Fuzhou, didapati banyak hasil tangkapan dari Tuban, Jawa Timur diproses di sebuah kilang pemprosesan tempatan.

Sebagai komponen utama projek 'Dua Negara, Taman Kembar' China-Indonesia, zon itu dibina atas inisiatif Xi ketika beliau bertugas di Fuzhou.

Pada tahun 1994, Xi menyifatkan keterbukaan sebagai nadi ekonomi bandar Fuzhou dengan menekankan perlunya dasar pintu terbuka diamalkan secara menyeluruh dan memastikan industri peringkat pertama, kedua dan ketiga berkembang secara terselaras.

Fuzhou dikenali sebagai kampung halaman bagi lebih empat juta perantau China di seluruh dunia.

Xi pernah mengetuai rombongan ke luar negara untuk menarik lebih ramai pemastautin pulang melabur di tanah air.

Demi memenuhi keperluan memperluas pintu terbuka, beliau juga giat menggerakkan pembinaan infrastruktur utama seperti dermaga air dalam, lebuh raya dan jalan raya ekspres di bandar berpandukan susun atur projek strategik '3820'.

Matlamat disasarkan strategi berkenaan berjaya dicapai pada 2010, menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Fuzhou meningkat kepada 324.2 bilion yuan (RM212.7 bilion) berbanding 15 bilion yuan (RM9.8 bilion) yang direkod pada 1992, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 16 peratus.

Dengan memanfaatkan status selaku kawasan teras Jalan Sutera Maritim Abad ke-21 serta kelebihan zon perdagangan bebas rintis, Fuzhou terus memajukan industri baru muncul strategik seperti bahan baharu dan kecerdasan buatan (AI) sehingga membentuk kluster industri bernilai 100 bilion yuan (RM65.6 bilion) membabitkan sektor tekstil, gentian kimia dan maklumat elektronik.

Dalam tempoh lima tahun lalu, nilai keseluruhan import dan eksport di bandar Fuzhou melepasi 250 bilion yuan (RM164 bilion), sementara jumlah syarikat yang ditubuhkan dengan pelaburan asing mencatat kira-kira 2,000 dan rakan dagangnya pula melibatkan lebih 200 negara dan wilayah.

Video

Berita Berkaitan