Quanzhou, Legenda Kota Dedap Merah

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 23 Januari 2024
Quanzhou, Legenda Kota Dedap Merah
Bunga dedap merah mekar di Kota Zayton (kota dedap merah). Foto ihsan Stesen Radio dan Televisyen Quanzhou.

“Zayton ialah salah satu pelabuhan terbesar di dunia. Begitu banyak pedagang berkumpul di sini. Barangan bertimbun seperti gunung. Saiz urus niaga tidak dapat dibayangkan.” Beginilah keadaan perniagaan di bandar Quanzhou yang digambarkan oleh Macro Polo.

Nama panggilan Quanzhou iaitu Kota Zayton (kota dedap merah) berasal daripada tumbuhan Erythrina atau pokok dedap merah, yang sebutannya sama dengan “zayton” dalam bahasa Cina. Tumbuhan itu berasal dari India dan Malaysia dan dinamakan kerana duri kon di antara dahannya.

Semasa Dinasti Wei, Jin, Selatan dan Utara (220-589), Quanzhou sudah pun berdagang dengan dunia luar, dan pada masa itulah tumbuhan dedap merah memasuki Quanzhou. Semasa tempoh Lima Dinasti (907-979), gabenor Quanzhou Liu Congxiao, mengarahkan supaya pokok dedap merah ditanam di keliling tembok kota. Dengan demikian, kota itu diberikan nama Kota Zayton (kota dedap merah). Semasa Dinasti Song (960-1279) dan Dinasti Yuan (1271-1368), Quanzhou sudah membina sistem pengangkutan jalan air yang lengkap. Pelabuhan Quanzhou dibahagikan kepada pelabuhan luar untuk kapal besar yang digunakan untuk perdagangan asing, dan pelabuhan dalam untuk memenuhi keperluan kapal kargo yang berbeza apabila berlabuh. Melalui sistem ini, Quanzhou dapat menyokong kegiatan perdagangan yang berskala besar.

Pada Julai 2021, projek “Quanzhou: Pusat Dagangan Marin Dunia pada Dinasti Song dan Yuan China” (Quanzhou: Emporium of the World in Song-Yuan China) dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Dunia.

Hari ini, dengan cadangan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, Quanzhou membuka lembaran baharu dalam perdagangan asing. Sehingga awal Disember 2023, Quanzhou telah menawarkan 18 laluan yang terus sampai ke Filipina, Vietnam, Malaysia, Singapura, Indonesia, Rusia, Jepun, Emiriah Arab Bersatu dan negara serta wilayah lain.

Video