Quanzhou, Tempat Lahir Usahawan Kalis Cabaran

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 30 Januari 2024
Quanzhou, Tempat Lahir Usahawan Kalis Cabaran

Quanzhou yang terletak di pesisir laut, merupakan titik permulaan Jalan Sutera Maritim yang juga dinobatkan sebagai “Emporium Dunia pada Dinasti Song-Yuan China” oleh UNESCO. Bermula dari sinilah, ramai saudagar China membuka langkah dan menjejak kaki ke seluruh dunia.

Satu aktiviti diadakan Ahad lalu bagi menerokai kemeriahan Quanzhou, anjuran Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal dan Pentadbiran Ruang Siber (CCAC), Jabatan Pentadbiran Warisan Budaya Negara (NCHA) serta People’s Daily.

Quanzhou merupakan kampung halaman kepada 9.5 juta perantau Cina di seberang laut. Mereka membina kerjaya di tanah asing dengan titik peluh sendiri, dan dipuji orang tempatan kerana tekun, berani, dan mempunyai integriti. Salah seorang daripadanya ialah Xu Jincong, perantau Quanzhou di Indonesia yang berkongsi kisahnya pada aktiviti itu.

Pada 1979, Xu meninggalkan pekerjaan yang stabil untuk menceburkan diri dalam perniagaan. Beliau pernah menjual sayur dan kemudiannya membuka kilang percetakan dan pencelupan, yang pertama di provinsi Fujian, namun akhirnya bankrap.

Biar begitu, Xu tidak berputus asa. “Kami, orang Minnan (Selatan Fujian) penduduk pesisir laut, tidak takut akan angin dan ombak (yang juga membawa maksud cabaran dalam bahasa Cina).”

Xu kemudian mencari peluang untuk berurus niaga dengan pengilang Indonesia, bahkan membuka perusahaan sendiri di sana.

“Kami yakin kejayaan pasti datang asalkan sanggup gigih berusaha,” kata beliau.

Video

Berita Berkaitan