Jaga Haiwan Peliharaan, Kerja yang Makin Popular

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Ahad 18 Februari 2024

Tatkala ramai orang pergi berjalan-jalan semasa Tahun Baharu Cina (TBC), ada yang perlu memikirkan nasib haiwan peliharaan yang terpaksa ditinggalkan. Selain menghantar ke pusat jagaan, semakin ramai yang memilih untuk mengupah penjaga profesional datang ke rumah untuk memberi makan dan bermain sekejap dengan haiwan kesayangan mereka. Keadaan ini turut menjadikan pekerjaan sebagai penjaga haiwan peliharaan semakin popular.

Menyahjangkit, memakai sarung tangan dan kaki, memberi makanan dan air, membersihkan barang keperluan haiwan peliharaan, memerhatikan status haiwan, bermain dengan haiwan… Pada awal pagi, Cik Chi, seorang penjaga haiwan peliharaan di Beijing, memulakan kerja hariannya.

Seawal 2 bulan sebelum TBC, Cik Chi mula menerima tempahan daripada pemilik haiwan peliharaan yang memerlukan khidmat penjaga.

“Ramai menganggap haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga dan bimbang berlakunya apa-apa yang tak dijangka ketika mereka tiada. Jadi, mereka harap ada orang yang profesional menjaga dan menemani haiwan kesayangan dalam tempoh itu."

Jelas Cik Chi, keperluan sebegini biasanya bermusim, dan kemuncaknya semasa TBC.

“Ada banyak hari yang saya terima lebih 20 tempahan sehari."

Video yang dihantar oleh Cik Chi kepada pelanggan sewaktu menjaga haiwan peliharaan di rumah mereka. (Foto ihsan Cik Chi dan diterbitkan oleh China News Service.)

Caj perkhidmatan dikira berdasarkan jarak ke rumah pelanggan, jenis haiwan, jenis khidmat yang ditempah dan sebagainya, yang biasanya antara 30 yuan (kira-kira 20 ringgit) hingga 100 yuan (kira-kira 67 ringgit) untuk setiap sesi.

Industri haiwan peliharaan yang berkembang pesat telah melahirkan pekerjaan baharu seperti penjaga haiwan peliharaan. Menurut data, skala industri haiwan peliharaan mencapai 493.6 bilion yuan (kira-kira 329.7 bilion ringgit) pada tahun 2022, meningkat sebanyak 25.2% berbanding dengan tahun 2021. Saiz pasaran industri haiwan peliharaan dijangka akan mencecah 811.4 bilion yuan (kira-kira 542 bilion ringgit) pada tahun 2025.

Foto menunjukkan kucing kesayangan Cik Chi yang berumur lebih 10 tahun. (Foto ihsan Cik Chi dan diterbitkan oleh China News Service.)

Foto menunjukkan kucing kesayangan Cik Chi yang berumur lebih 10 tahun. (Foto ihsan Cik Chi dan diterbitkan oleh China News Service.)

Xia Hailong, peguam di Firma Undang-undang Shanghai Shenlun mengatakan bahawa industri baru muncul memerlukan kawalan terperinci. Kini, pengguna sukar menentukan keupayaan dan integriti orang yang menawarkan perkhidmatan. Jika penjaga gagal melaksanakan tanggungjawab selepas menerima bayaran, ini mungkin membahayakan kesihatan haiwan. Selain itu, dengan membenarkan orang asing masuk tanpa ditemani, wujud juga risiko yang tidak diketahui terhadap keselamatan harta benda dan privasi tuan rumah. Maka, perlunya peraturan terperinci untuk memastikan industri baharu ini berkembang dengan mampan dan sihat.

Video

Berita Berkaitan