Graduan Baharu Tuju Masa Depan, Banyak Jadi Pertimbangan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 Julai 2023

Zhang Xiaoning (kiri) dan rakan-rakan bergambar sebelum upacara penyampaian ijazah di Universiti Jiaotong Beijing tahun ini. CHINA DAILY

Zhang Xiaoning (kiri) dan rakan-rakan bergambar sebelum upacara penyampaian ijazah di Universiti Jiaotong Beijing tahun ini. (CHINA DAILY)

Musim konvokesyen tahun ini hampir sampai ke hujungnya. Memandangkan kebanyakan graduan sesi ini lahir pada tahun 2000 atau 2001, merekalah kumpulan pertama daripada “generasi 00” yang meninggalkan kampus dan melangkah masuk ke alam pekerjaan.

Graduan-graduan ini juga memiliki satu lagi ciri tersendiri, iaitu tiga daripada empat tahun yang mereka habiskan di kolej terkesan akibat wabak COVID-19. Baik yang duduk di rumah mahupun yang dikuarantin di hostel, mereka mengikuti kuliah secara dalam talian.

Zhang Xiaojing yang lahir pada September 2000, lulus dari Universiti Jiaotong Beijing dengan ijazah sarjana muda kewartawanan Internet. “Generasi saya terdedah kepada terlampau banyak maklumat, jadi ketika membuat keputusan yang membabitkan masa depan, lebih mustahak untuk kami meneliti betul-betul maklumat yang ada. Kalau keputusan-keputusan besar dibuat dalam keadaan bercelaru, sekarang lebih buruk padahnya,” kata siswi ini.

Satu pameran kerjaya untuk graduan universiti diadakan di Pusat Sukan Hefei, provinsi Anhui pada 29 Mei. (WANG YISHENG/untuk CHINA DAILY)

Satu pameran kerjaya untuk graduan universiti diadakan di Pusat Sukan Hefei, provinsi Anhui pada 29 Mei. (WANG YISHENG/untuk CHINA DAILY)

PENGALAMAN PRAKTIK

Kong Zhiyu, rakan sekelas Zhang, mengatakan graduan tahun ini benar-benar seronok sewaktu menjalani latihan amali. Walaupun umur belum mencecah 23 tahun, ramai yang mengaku diri mereka sudah layak dipanggil “veteran latihan amali”.

“Pengalaman praktik juga menjadikan saya lebih realistik,” kata pemuda itu. “Semasa di sekolah, kami tak dapat bayangkan apa jenis bakat yang diperlukan oleh masyarakat ataupun di mana tempat kami di kalangan orang sebaya. Tapi selepas bekerja dengan majikan, kami tak lagi takut-takut atau besar kepala. Kami dapat mencari tahap sendiri dan melihat ke masa depan dengan lebih realistik.”

Wu Di, seorang graduan tahun ini yang pengkhususannya dalam pengajian Sepanyol, menganggap pelajar-pelajar kolej hari ini “terperangkap”. Pada pandangannya, kebimbangan dan perasaan tidak yakin yang mereka alami berpunca daripada tekanan daripada rakan sebaya untuk bekerja keras.

“Jika kebimbangan diukur pada skala sifar hingga sepuluh, generasi ini berada pada paras lapan hingga sepuluh,” ujarnya.

Graduan menyerahkan resume dan membuat pertanyaan pada pameran kerjaya. (WANG YISHENG/untuk CHINA DAILY)

Graduan menyerahkan resume dan membuat pertanyaan pada pameran kerjaya. (WANG YISHENG/untuk CHINA DAILY)

‘RASA YAKIN DIRI’

Dalam temu ramah untuk artikel ini, ungkapan “mencari rasa yakin diri” kerap kali timbul dalam kalangan kumpulan graduan terbaru.

Wu berkata, “Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kami berasa ada terlalu banyak ketakpastian dalam dunia. Kalau dipandang dari sudut kerja dan masa depan, seolah-olah satu-satunya kepastian yang ada ialah membuat duit.”

Antara rakan-rakannya, ada yang menduduki peperiksaan penjawat awam, sementara yang lain memilih kerja yang menawarkan kemudahan pendaftaran isi rumah di Beijing. Bagi yang memilih untuk bekerja dengan perusahaan milik negara atau syarikat-syarikat besar, haluan kerjaya ini dipilih kerana lebih terjamin.

Wang Hongying, setiausaha Parti bagi Sekolah Pengajian Bahasa-bahasa dan Komunikasi di Universiti Jiaotong Beijing berkata bahawa wujudnya perbezaan besar antara lulusan hari ini dengan 10 tahun lalu.

Tempoh 20 tahun sejak generasi ini lahir juga masanya negara China maju daripada sebuah masyarakat yang agak kaya kepada benar-benar kaya. Generasi ini dilihat sebagai bertuah, namun pada masa yang sama dibelenggu pelbagai kekhuatiran. Mereka mungkin berdepan lebih banyak tekanan berkaitan pekerjaan.

Hou Jianguo (kedua dari kanan), presiden Akademi Sains China, berjabat tangan dengan graduan semasa konvokesyen di Universiti Akademi Sains China di Beijing pada 1 Julai. ZHU XINGXIN/CHINA DAILY

Hou Jianguo (kedua dari kanan), presiden Akademi Sains China, berjabat tangan dengan graduan semasa konvokesyen di Universiti Akademi Sains China di Beijing pada 1 Julai. (ZHU XINGXIN/CHINA DAILY)

KEBANJIRAN PEMOHON

Tekanan yang dimaksudkan kemungkinan berpunca daripada bilangan graduan yang ramai. Turut menyumbang kepada keadaan ini ialah pelajar China yang tamat pengajian di seberang laut pulang ke tanah air semasa wabak COVID-19 meletus. Dua faktor serentak menyebabkan berlakunya kebanjiran pemohon dalam pasaran kerja.

“Dari persepektif masyarakat, yang menjadi sasaran sekarang ialah mengurangkan ketaksamaan dalam pekerjaan. Maksudnya, sama ada dalam unit kerajaan, besar atau kecil, syarikat milik negara atau swasta, jurang antara kesemuanya perlu dikecilkan. Banyak negara maju yang telah melalui fasa ini. Kemajuan dan keseimbangan takkan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Inilah perkara yang perlu diselesaikan seterusnya,” kata Wang.

Wu, lulusan pengajian Sepanyol, menyatakan: “Setiap generasi ada misi dan tumpuan sendiri. Kita perlu mengakui bahawa generasi ini mendekati masalah-masalahnya dengan tenang. Memandang dari jauh dan mengatakan kami ini relaks atau kami ini tertekan, kedua-duanya pun membuat generalisasi yang keterlaluan. Saya rasa tak perlulah berbuat begini.”

Gaya Hidup

Berita Berkaitan