Penggiat Industri Letak Harapan Tinggi Buat Ekonomi Altitud Rendah

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 18 April 2024

Fokus China untuk membangunkan ekonomi altitud rendah disifatkan oleh pakar industri itu sebagai kondusif kepada memperhebat usaha menaiktaraf perindustrian bandar, memupuk daya pertumbuhan ekonomi baharu, serta mengurangkan kesesakan lalu lintas bandar.

Menurut pakar industri itu lagi, kewujudan sektor ekonomi altitud rendah meningkatkan lagi potensi pasaran secara besar-besaran, selain menjanjikan masa depan pembangunan.

Namun, para pakar tersebut berpendapat bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menambah baik peraturan, piawaian dan dasar kawal selia yang berkaitan dengan pengoperasian kenderaan udara tanpa pemandu dan aktiviti penerbangan altitud rendah yang lain secara selamat, serta mempercepat pembinaan lapangan terbang berlepas dan mendarat serta sistem pengurusan ruang udara.

‘Ekonomi altitud rendah’ yang masih belum mempunyai definisi rasmi tersebut secara amnya merujuk kepada ruang ekonomi baharu dengan memanfaatkan ruang udara altitud rendah di bahawa paras 3,000 meter bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bawaan udara.

Difahamkan, kesemua aktiviti penerbangan tersebut merangkumi usaha rangkaian komprehensif yang tertumpu terhadap kedua-dua kenderaan udara berawak dan tanpa pemandu, termasuk pembuatan pesawat, operasi penerbangan altitud rendah dan perkhidmatan bersepadu.

Buat julung-julung kalinya juga, ekonomi altitud rendah turut dimasukkan ke dalam Laporan Kerja Kerajaaan tahun 2024.

Di sekitar China, beberapa kawasan bertaraf provinsi turut mengumumkan pelan dalam laporan kerja kerajaan tahun 2024 masing-masing untuk membangunkan ekonomi altitud rendah, serta membina kluster perindustrian yang berkaitan.

Syarikat EHang, firma teknologi kenderaan udara autonomi China turut melipat ganda usaha untuk meningkatkan penggunaan komersil pesawat eVTOL dalam pelancongan dan bersiar-siar udara.

Untuk rekod, pada awal bulan ini, syarikat itu mengumumkan telah mendapat sijil untuk mengualarkan pesawat eVTOL EH216-S yang membawa penumpang tanpa juruterbang.

Terdahulu, EH216-S telah mendapat sijil jenis dan sijil kelayakan udara dari Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC). Pesawat yang berukuran 6.05 meter panjang, 5.73 lebar dan 1.93 meter tinggi itu mempunyai julat penerbangan maksimum sehingga 30 kilometer dengan kelajuan maksimum sehingga 130 kilometer sejam.

Pemilik, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif EHang, Hu Huazhi berkata, syarikat itu berharap untuk memperkenal pesawat eVTOL tanpa juruterbang yang selamat dan boleh dipercayai ke pasaran global, sekali gus menawarkan perkhidmatan mobiliti udara yang mesra alam, autonomi dan selamat kepada semua orang.

Video

Berita Berkaitan