Tenaga Baharu Hidupkan Semula Kawasan Amblesan Lombong Arang Batu

Tenaga Baharu Hidupkan Semula Kawasan Amblesan Lombong Arang Batu
Foto yang diambil pada 30 Mei 2024 menunjukkan panel fotovolta di Pangkalan Demonstrasi Fotovolta Teknologi Maju Kebangsaan Kawasan Perlombongan Datong, Provinsi Shanxi, di utara China (Xinhua/Liu Lihang).

Pangkalan Demonstrasi Fotovolta Teknologi Maju Kebangsaan Kawasan Perlombongan Arang Datong terletak di Bandar Datong, wilayah Shanxi yang kaya dengan arang batu di utara China.

Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 1,687 kilometer persegi telah tenggelam akibat aktiviti perlombongan arang batu yang terlalu lama dan berskala besar.

Pangkalan itu mula dibina pada September 2015 dan telah menarik sejumlah 13 perusahaan termasuk China General Nuclear Power Group dan State Power Investment Corporation untuk melabur serta mengendalikan panel fotovolta.

Ia dibina dengan skala pembinaan keseluruhan 1.5 juta kilowatt, meliputi dua belas projek 100,000 kilowatt, enam projek 50,000 kilowatt, tiga stesen pengumpulan 220 kilovolt, dan 68 titik pemantauan amblesan.

Projek fasa pertama meliputi 49,600 mu (kira-kira 3,306.7 hektar) dengan skala pembinaan 1 juta kilowatt.

Menurut Wang Zhiwei, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Tenaga Baharu Bandar Datong, pangkalan itu telah menjana 12.67 bilion kilowatt jam elektrik secara kumulatif setakat penghujung April lalu.

Sepanjang hampir lapan tahun beroperasi, modul fotovolta di pangkalan telah menjalani peningkatan dan lelaran berterusan dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan penjanaan kuasa.

"Kami menggunakan empat jenis kaedah pemasangan untuk modul fotovolta di pangkalan kami.

"Antaranya, penjejak dwi-paksi boleh memutarkan panel untuk mengikut arah cahaya matahari, mengekalkan sudut optimum secara konsisten dan menangkap sinaran suria dengan lebih cekap," kata Han Zhicheng, Pengarah Pusat Perkhidmatan Pemantauan Maklumat pangkalan itu.

Untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga suria dan menggunakan tanah terbiar dengan cekap di kawasan amblesan perlombongan arang batu, pangkalan tersebut telah menggunakan model pemulihan ekologi 'agrovolta'.

Ia melibatkan penanaman tumbuh-tumbuhan di bawah panel fotovoltan, mengekalkan kecekapan penjanaan kuasa sambil menggalakkan penjimatan tanah dan air, selain turut menambah baik persekitaran ekologi.

Memetik data daripada biro tenaga perbandaran, kapasiti tenaga baharu dan boleh diperbaharui Datong pada tahun lalu telah mencecah 8.75 juta kilowatt, yang menyumbang kepada 52 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang.

Manakala, kapasiti bersambung grid untuk tenaga fotovolta dan angin pula mencecah 8.62 juta kilowatt, sekali gus meletakkan Datong di tangga teratas di provinsi Shanxi.

Video

Berita Berkaitan