Selangor Jalin Kerjasama Dengan Syarikat China Dalam Data Ruang

Oleh: Ahmad Syukri Azmi

Exco Pembudayaan Inovasi dan Infrastruktur Digital Negeri Selangor, Dr. Fahmi Ngah (dua dari kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara PIESAT Information Technology dengan Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn. Bhd. (SELATI) pada 16 Ogos 2024, di Beijing, ibu negara China. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Exco Pembudayaan Inovasi dan Infrastruktur Digital Negeri Selangor, Dr. Fahmi Ngah (dua dari kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara PIESAT Information Technology dengan Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn. Bhd. (SELATI) pada 16 Ogos 2024, di Beijing, ibu negara China. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Negeri Selangor bakal menggunakan kepakaran data penderiaan jauh (remote sensing) oleh syarikat China, iaitu PIESAT Information Technology, menerusi kerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri, khususnya dalam bidang data ruang (data spatial) termasuk angkasa lepas yang menggunakan satelit dan dron.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Dr. Fahmi Ngah ketika diwawancara eksklusif oleh People’s Daily Online, kepakaran tersebut akan digunakan bagi memastikan pembangunan negeri dijalankan dengan baik, pemantauan pencemaran, penguatkuasaan yang lebih cekap dan cepat, serta pembangunan bandar dan negeri pintar.

Dr. Fahmi Ngah ketika diwawancara eksklusif oleh People’s Daily Online pada 16 Ogos 2024, di Beijing. (People's Daily Online/Wang Jing)

Untuk rekod, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada 2023 telah mengemukakan idea pewujudan Greater Klang Valley (Wilayah Besar Lembah Klang) dengan menyatukan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor iaitu Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang.

Justeru, Fahmi berkata bahawa penyatuan akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya data ruang dikeempat-empat PBT dapat disatukan terlebih dahulu, sekali gus membolehkan mereka mengetahui data terperinci seperti jumlah bangunan, tiang lampu dan pokok, yang turut membantu dalam usaha menuju tahap pengurusan aset dan karbon yang lebih baik.

Beliau berkata demikian di Beijing, pada Jumaat selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI) iaitu anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan syarikat China berpangkalan di Beijing tersebut.

Fahmi yang juga Exco Pembudayaan Inovasi dan Infrastruktur Digital Negeri Selangor itu menjangkakan PIESAT akan bertapak di Selangor pada Oktober depan, serta disusuli dengan bengkel libat urus dan aktiviti-aktiviti lain dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

“Penggunaan pertama teknologi PIESAT ni akan mula selewat-lewatnya pada Januari 2025 secara berfasa mengikut keperluan dan keutamaan, dan kita akan memilih empat hingga lima masalah besar secara bersama-sama dengan agensi-agensi lain, seterusnya mengguna pakai penyelesaian dari PIESAT,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan pujian terhadap semangat keusahawanan dan keberanian syarikat China untuk menerokai perkara baharu.

“Mereka berani untuk cuba tanpa terlalu membimbangkan soal kos dan keselamatan siber untuk memastikan penguasaan teknologi digital. Sebagai contoh, PIESAT merupakan syarikat pemula pada 2009, dan pada 2017 disenaraikan dalam Lembaga Inovasi Sains Dan Teknologi. Hari ini, nilainya dikatakan sekitar RMB4 bilion.

“Justeru, Selangor beruntung kerana mendapat teknologi canggih dan juga berpatutan, serta dapat menyelesaikan masalah yang ada,” katanya lagi.

Wakil syarikat PIESAT Information Technology dan Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI) menandatangani pemeteraian memorandum persefahaman pada 16 Ogos 2024, di Beijing, ibu negara China. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Wakil syarikat PIESAT Information Technology dan Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI) menandatangani pemeteraian memorandum persefahaman pada 16 Ogos 2024, di Beijing, ibu negara China. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Video

Berita Berkaitan