Syarikat China Dipelawa Menerokai Pelaburan di Pahang

(CRI)Isnin 23 Disember 2024

Kerajaan Pahang mempelawa lebih banyak syarikat di China menerokai peluang pelaburan di negeri itu khususnya membabitkan industri halal.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana pihaknya telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi tujuan tersebut termasuk komitmen untuk memudahcara proses pelaburan asing ke negeri itu.

Mengambil kira industri halal yang semakin berkembang pesat, beliau berkata pelabur China yang berminat untuk menerokai peluang tersebut boleh memanfaatkan kemudahaan hab halal yang terdapat di Pahang.

"Pada Forum Perniagaan Halal Malaysia-China yang diadakan September lalu, kita memberitahu kepada para pelabur bahawa kerajaan Pahang menyediakan kemudahan hab industri halal kepada syarikat yang berminat dan reaksi yang diterima dalam kalangan pemain industri di China setakat ini amat positif", katanya.

Menerusi forum berkenaan, Datuk Seri Wan Rosdy berkata sebanyak tujuh syarikat China telah menunjukkan minat dengan tawaran dan kemudahan pelaburan di Pahang khususnya berkaitan industri halal dengan potensi pelaburan dianggarkan bernilai RM2 bilion.

Beliau berkata demikian kepada CGTN Malay selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama Mahasiswa Malaysia di Beijing pada Jumaat.

Pada majlis tersebut Datuk Seri Wan Rosdy berkesempatan mengadakan forum khas secara dua hala bersama kira-kira 60 mahasiswa yang hadir selain berkongsi mengenai perkembangan tanah air dengan menjawab beberapa soalan yang diajukan para mahasiswa.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan agar para mahasiswa belajar bersungguh-sungguh dan pulang semula ke tanah air untuk berkhidmat untuk pembangunan negara apabila menamatkan pengajian nanti.

Video

Berita Berkaitan