Konflik Timur Tengah: Masyarakat Antarabangsa Mahu Penyelesaian Menyeluruh dan Berkesan

(CRI)Selasa 31 Disember 2024

Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) diharap dapat mencari penyelesaian yang menyeluruh, komprehensif dan berkesan bagi mendepani isu di Timur Tengah pada tahun baharu.

Demikian dinyatakan Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang pada sesi terbuka UNSC berhubung situasi semasa di rantau terbabit pada Isnin.

Menurut beliau, China menyeru pihak yang terlibat di dalam konflik di Timur Tengah untuk mengelak daripada melakukan tindakan yang memburukkan lagi ketegangan dan bersama-sama berusaha untuk menghentikan keganasan.

Ujarnya, konflik di Gaza sudah berlarutan sejak sekian lama, justeru gencatan senjata yang segera dan berkekalan perlu dilaksanakan sebagai prasyarat kepada usaha-usaha yang telah dijalankan.

Manakala gencatan senjata antara Lubnan dengan Israel dilihat sangat rapuh, perjanjian yang dicapai mesti dilaksanakan dengan berkesan.

Selain itu, China juga meminta kumpulan bersenjata Houthi di Yaman untuk menghentikan serangan terhadap kapal dagang dan menyeru Israel untuk menamatkan serangan ke atas Yaman.

"China menggesa Timur Tengah menyelesaikan perselisihan dan percanggahan menerusi dialog dan rundingan, di samping mewujudkan kehidupan bersama secara damai, kerana rantau berkenaan bukanlah medan permainan catur negara gergasi, ataupun mangsa korban pergaduhan geopolitik negara luar," kata Geng lagi.

Masyarakat antarabangsa juga disaran untuk mempergiatkan lagi usaha serta mencari pendekatan yang komprehensif dan adil bagi isu Palestin.

Video

Berita Berkaitan