Pakar: Perutusan Tahun Baharu 2025 Presiden Xi Suntik Keyakinan Buat Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 02 Januari 2025

Nota: Artikel yang diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online ini dipetik oleh agensi berita Xinhua

Foto kereta api laju CR450AF di Beijing, ibu kota China pada 29 Disember 2024. (Xinhua/Ju Huanzong)

Foto kereta api laju CR450AF di Beijing, ibu kota China pada 29 Disember 2024. (Xinhua/Ju Huanzong)

Pakar dari luar negara menyifatkan perutusan Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh Presiden China, Xi Jinping sebagai cerminan kepada kejayaan besar negara Tembok Besar itu pada tahun lalu dalam menuju pembangunan berkualiti tinggi, selain menyuntik keyakinan kepada dunia tatkala dilanda cabaran dan ketidaktentuan.

Ketua pengarang berita asing akhbar The Guardian di Tanzania, Benjamin Mgana berkata bahawa langkah dasar komprehensif China dalam mengatasi cabaran antarabangsa dan domestik yang kompleks memaparkan tadbir urus dan kebolehsuaian yang teguh.

Beliau berkata, daripada pemulihan ekonomi kepada penghasilan lebih 10 juta kenderaan tenaga baharu dalam tempoh setahun, pencapaian itu memperlihatkan kejayaan strategi pembangunan berkualiti tinggi China.

Mgana turut menekankan bahawa kemajuan pembangunan hijau dan rendah karbon serta kemunculan industri dan model perniagaan baharu menunjukkan lagi komitmen China terhadap pembangunan mampan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan dan Perdagangan Kyber Pakhtunkhwa Pakistan, Daud Butt pula menyatakan bahawa China kini telah muncul sebagai pemimpin dunia dalam menangani perubahan iklim, kemajuan pembangunan rendah karbon dan hijau, serta menjadi contoh yang menginspirasikan dalam kemajuan mampan.

Tambah beliau, China kini sedang berinovasi dalam skala yang belum pernah terjadi sebelum ini, sambil secara aktif berkongsikan kejayaannya dengan dunia, khususnya dengan negara-negara membangun.

Hidetoshi Tashiro, ketua ekonomi Syarikat Sigma Capital Jepun yang tertarik dengan penemuan baharu China seperti dalam litar bersepadu, kecerdasan buatan, dan komunikasi kuantum berkata bahawa China telah mempromosi pembangunan berkualiti tinggi menerusi keterbukaan yang bertaraf tingi.

Jelasnya, ia sekali gus memberi manfaat kepada seluruh dunia dan menambah peluang pembangunan buat negara-negara yang membangun.

Dalam perutusan Xi pada malam 31 Disember 2024, beliau menyebut bahawa China selaku negara utama yang bertanggungjawab tatkala dunia sedang menghadapi ketidaktentuan dan transformasi itu sedang aktif mempromosikan penambahbaikan tadbir urus global, serta memperdalam perpaduan dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global.

Mengulas mengenai kenyataan itu, naib presiden Persatuan Persahabatan Perancis-China, Lyazid Benhami berkata bahawa China semakin memperkukuh kedudukannya menjadi kuasa penstabil utama menerusi advokasi keterbukaan dan multilateral.

Katanya, dengan menjadi pendorong dalam pembaharuan institusi global, China akan mewakili negara-negara yang telah lama terpinggir dan berusaha untuk memastikan suara mereka didengari.

Profesor kanan di Universiti Antarabangsa BELTEI di Kemboja, Joseph Matthews berkata bahawa mesej yang disampaikan Xi menunjukkan peranan penting China sebagai pemimpin Selatan Global.

Menurut beliau, China telah berdedikasi untuk mempromosi multilateralisme serta membina wadah yang membolehkan semua pihak dapat terlibat bersama-sama seperti Organisasi Kerjasama Shanghai, BRICS, APEC dan G20.

Bagi Stephen Ndegwa, pakar hal ehwal antarabangsa di Kenya, beliau melihat keazaman China untuk memajukan pembangunan berkualiti tinggi, mengembangkan keterbukaan ke peringkat tertinggi dan mengangkat pemodenan China secara komprehensif telah mencerminkan komitmen China sebagai negara utama yang bertanggungjawab.

“Beberapa siri usul terhadap konsep kerjasama serantau dan hala tuju pembangunan akan memberikan impak positif terhadap pengekalan kestabilan global dan prospek pertumbuhan ekonomi dunia,” ujar beliau.

Xi dalam perutusannya turut menyatakan bahawa China akan bekerjasama dengan semua negara untuk mempromosi kerjasama dan persahabatan, selain memberi saranan kepada semua pihak untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik.

Naib pengerusi Persatuan Interaksi Malaysia-China, Gan Tian Loo berkata bahawa inisiatif untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama manusia telah secara aktif memberi sumbangan kepada pemodenan global, mengatasi konflik dan konfrontasi yang memihak kepada pembangunan secara aman, menggantikan permainan campur tolak dengan kerjasama menang-menang, serta mencegah pertembungan tamadun melalui pertukaran dan persefahaman bersama.

Perunding penerbitan dan komunikasi di Institut Pengajian Dasar Ethiopia, Balew Demissie menyatakan bahawa gagasan Xi untuk bersama-sama mendepani cabaran global dilihat sebagai sealiran dengan aspirasi negara-negara membangun dalam usaha ke arah pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Katanya, Xi juga telah menekankan terhadap sumbangan rangka kerja kerjasama multilateral kepada dunia multipolar, yang membolehkan negara-negara Afrika mengutarakan minat masing-masing, seterusnya mendapat manfaat daripada penyertaan mereka.

Video

Berita Berkaitan