- Lain-lain
Ladang Solar Hidrogen Luar Pesisir Terbesar China Mula Beroperasi
Foto sudut udara yang diambil menggunakan dron pada 3 November 2024 ini memaparkan projek tenaga fotovolta di Kaunti Rudong, Bandar Nantong, Provinsi Jiangsu di timur China. (Xinhua/Li Bo)
Sebuah ladang solar hidrogen bersepadu besar yang terletak di kawasan rata pasang surut di timur China telah memulakan operasinya pada 31 Disember lalu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut pemiliknya, Guohua Energy Investment di bawah CHN Energy, ladang tenaga yang terbesar di China itu secara rasminya dikenali sebagai projek penyimpanan tenaga hidrogen-fotovolta luar pesisir Rudong yang telah berjaya disambungkan dengan grid di kaunti Rudong, Provinsi Jiangsu.
Laporan Xinhua yang memetik siaran akhbar CHN Energy menyebut bahawa pelancaran itu juga sekali gus menandakan projek pengurusan ekologi pesisir pantai dan penggunaan tenaga komprehensif pertama China yang menggabungkan penjanaan kuasa, penghasilan hidrogen, pengisian semula hidrogen dan penyimpanan tenaga.
Difahamkan, dengan kapasiti terpasang berjumlah 400 megawatt, projek Rudong itu berkeluasan sehingga 287 hektar, serta menampilkan stesen penggalak darat 220 kilovolt yang baru dibina, kemudahan penyimpanan tenaga berkuasa 60 megawatt/120 megawatt, serta sebuah stesen isi semula dengan kemampuan 500 kilogram sehari dan penghasilan hidrogen berkapasiti 1,500 meter padu standard sejam.
Sebaik memulakan operasi, projek tersebut dijangka akan menjana secara purata 480 juta kilowatt jam elektrik setiap tahun, yang bersamaan dengan penjimatan 151,000 tan arang standard setiap tahun.
CHN Energy berkata, ia juga secara tidak langsung akan mendorong ke arah pengurangan pelepasan karbon yang signifikan, termasuk sekitar 309,400 tan karbon dioksida, 562.6 tan sulfur dioksida, dan 1,125.3 tan nitrogen dioksida.
Syarikat tenaga itu turut menjelaskan bahawa pengurangan tersebut bukan sahaja memberi sumbangan besar terhadap penjagaan alam sekitar, malah menandakan pencapaian baharu dalam perubahan ke arah struktur tenaga yang lebih mampan.
Projek Rudong memanfaatkan sumber pasang surut pantai yang unik di rantau tersebut, menggunakan teknologi fotovolta termaju dan sistem kawalan pintar untuk mengoptimumkan penukaran tenaga dan kecekapan penyimpanan.
Dengan menyepadukan pengeluaran hidrogen melalui elektrolisis air, ia sekali gus meningkatkan lagi kecekapan penggunaan tenaga keseluruhan.
Tambah syarikat tenaga itu lagi, pendekatan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti pencukuran puncak grid kuasa serantau tetapi juga meningkatkan kestabilan bekalan elektrik dengan ketara.
- Kisah Hadiah daripada Xi: Patung Akupunktur Gangsa daripada Xi Jinping
- Tahun 2024 Presiden Xi: Detik-detik bersama rakyat
- Demi Masa Depan Lebih Baik
- Video: PM Anwar Sifatkan Kerjasama Malaysia-China Meningkat Secara Menyeluruh, Strategik
- Puteri Kemboja Kongsi Gerakan Tarian Tradisional, Tanda Zahir Ucapan ‘Saya Sayang Anda’
- Semakin Banyak Elektrik Bekalan Xinjiang Disalurkan ke Grid Nasional
- Tenaga Elektrik Mencukupi Jamin Pengeluaran Tenusu Dipercepatkan di Urumqi
- "Shenhai-1" Fasa Dua Siap untuk Pengeluaran Gas Asli
- Taman Perindustrian Kuasa Angin Luar Pesisir Rantaian Industri Penuh Pertama China
- Enam Loji Jana Kuasa Sungai Yangtze Bekalkan Elektrik 1.5 Bilion Kilowatt Sehari
- Fujian Sibuk Bina Loji Fotovolta Luar Pesisir
- China Terbanyak Kapasiti Loji Jana Kuasa TBB yang Dibina Pada 2023
- Sekilas Projek Demonstrasi Kuasa Angin Pertama Guangxi
- Sistem Penyimpanan Tenaga Karbon Dioksida Pertama Berjaya Dibina di Anhui
- Projek Janakuasa Elektrik Longdong Gunakan Tenaga Angin-Fotovoltaik Beroperasi