China Puji Pencapaian Pelaburan, Perdagangan RCEP

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 10 Januari 2025

Foto bertarikh 5 Mei 2023 ini memaparkan venue Ekspo Perdagangan dan Ekonomi RCEP (Huaihua) Hunan yang pertama di Provinsi Hunan. (Xinhua/Yu Chunsheng)

Foto bertarikh 5 Mei 2023 ini memaparkan venue Ekspo Perdagangan dan Ekonomi RCEP (Huaihua) Hunan yang pertama di Provinsi Hunan. (Xinhua/Yu Chunsheng)

Kementerian Perdagangan China pada Khamis menyatakan bahawa Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah memperdalam kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam kalangan anggotanya sejak ia mula dilaksanakan pada tiga tahun yang lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakapnya, He Yadong dalam satu sidang media ketika mengulas mengenai ulang tahun ketiga pelaksanaan RCEP yang jatuh pada 1 Januari berkata, perkongsian tersebut secara amnya telah menyatukan asas-asas perdagangan luar China.

Menurut Xinhua, sebagai pengerusi bergilir RCEP bukan ASEAN pada 2024, China telah berusaha untuk mempermudah keanggotaan baharu, sambil menambah bahawa Hong Kong, Sri Lanka dan Chile turut menghantar permohonan rasmi bagi menganggotai RCEP, serta disusuli minat oleh negara-negara lain yang ingin bersama-sama menyertai RCEP.

Kata He, sejak berkuatkuasa pada 2022, RCEP telah membantu memperdalam penyatuan ekonomi serantau. Pada 2024, volum perdagangan dalam kalangan negara RCEP direkodkan sebanyak AS$5.6 trilion, manakala jumlah pelaburan dalam bidang hijau pula meningkat 2.2 kali ganda berbanding 2021.

Untuk sebelas bulan pertama 2024, perdagangan China dalam bentuk barangan dengan negara anggota RCEP telah mencapai RMB12 trilion (sekitar AS$1.67 trilion), iaitu peningkatan 4.4 peratus dari tahun ke tahun.

Tambah He, China selaku negara ekonomi terbesar di dalam RCEP akan terus melaksanakan perkongsian tersebut secara komprehensif yang berkualiti tinggi, dan memberi sumbangan yang lebih besar dalam mempromosi integrasi ekonomi Asia-Pasifik, seterusnya mencapai kemakmuran dan pembangunan bersama serantau.

Untuk rekod, RCEP melibatkan keanggotaan 15 negara termasuk 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Mengikut kajian yang dilaksanakan oleh Bank Pembangunan Asia, pendapatan negara anggota RCEP diunjurkan untuk terus meningkat sebanyak 0.6 peratus menjelang 2030, sekali gus menambah pendapatan tahunan serantau sebanyak AS$245 bilion, dan mencipta 2.8 juta peluang pekerjaan.

Video

Berita Berkaitan