- Lain-lain
TBC 2025: China Dijangka Rekodkan 9 Bilion Perjalanan ‘Balik Kampung’
Menjelang ketibaan Festival Musim Bunga atau Tahun Baru Cina (TBC) tidak lagi, sejumlah besar penduduk di China telah memulakan perjalanan ‘balik kampung’ pada Selasa, dan ia dijadualkan akan terus berlangsung selama 40 hari sehingga 22 Februari depan.
Memetik laporan agensi berita Xinhua, pihak berkuasa menjangkakan bahawa China akan merekodkan sejumlah 9 bilion perjalanan domestik dalam tempoh ‘chunyun’ atau dikenali sebagai musim kemuncak perjalanan TBC.
Seorang kanak-kanak memegang plakad yang berbunyi “balik kampung untuk Tahun Baru” ketika menaiki kereta api K4159, iaitu kereta api pertama yang berlepas dari Beijing di Stesen Kereta Api Barat Beijing pada 13 Januari 2025. (Xinhua/Ju Huanzhong)
Pada tahun ini, lebih banyak pemilik kenderaan elektrik dan pelancong asing akan turut bersama-sama memeriahkan trend tahunan ‘chunyun’ yang dahulunya popular dengan pergerakan oleh perantau tempatan yang bekerja jauh dari kampung halaman untuk pulang dan meraikan perayaan utama di China itu.
Bagi Yang Bo, 22, dia telah memilih untuk memandu pulang ke kampung ke bandar Qianjiang di tengah China dari Shenzhen yang berjarak lebih 1,000 kilometer, dengan tempoh pemanduan melangkaui 10 jam.
Sebagai langkah penjimatan kos, dia mula mencari individu lain secara dalam talian untuk menumpangnya, dan berjaya menemui tiga penumpang.
Untuk 2025, perjalanan di jalan raya dijangka akan mendominasi kaedah pergerakan lain sehingga 80 peratus, dengan jangkaan sebanyak 7.2 bilion perjalanan, yang sekali gus akan turut menyaksikan lebuh raya bakal memperbaharui rekod untuk perjalanan terbanyak dalam sehari.
Trend kongsi kereta turut menjadi popular di dalam platform media sosial China apabila hantaran dengan tanda pagar “kongsi kereta balik kampung untuk TBC” pada aplikasi Xiaohongshu telah menarik 5.6 juta tontonan dan hampir 180,000 komen.
Menurut Xinhua lagi, kenderaan tenaga baharu (NEV) juga dijangka menjadi ‘watak utama’ dalam perjalanan ‘balik kampung’ pada tahun ini.
Justeru, wakil Kementerian Pengangkutan, Gao Bo memaklumkan sejumlah 33,100 stesen pengecas telah dipasang di kawasan lebuh raya seluruh China setakat November tahun lalu, dengan 97 peratus daripada kawasan itu kini telah dilengkapi dengan fasiliti pengecas.
Sekeping gambar sudut udara bertarikh 14 Januari 2024 memaparkan kereta api laju di sebuah tapak penyelenggaraan di Nanjing, Provinsi Jiangsu, timur China. (Xinhua/Yang Suping)
Difahamkan, pihak penerbangan awam dan kereta api juga telah meningkatkan kapasiti perjalanan bagi memastikan kelancaran pengangkutan.
Lebih 510 juta perjalanan penumpang akan dikendalikan oleh kereta api dalam tempoh tersebut, dengan purata perjalanan harian sebanyak 12.75 juta, iaitu kenaikan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun terdahulu.
Menurut China Railway, pihaknya merancang untuk mengoperasikan lebih daripada 14,000 kereta api penumpang setiap hari, sekali gus menyaksikan penambahan 500,000 tempat duduk secara harian.
Penumpang sedang beratur untuk mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan, Provinsi Hubei pada 14 Januari 2025. (Xinhua/Wu Zhizun)
Pada Selasa, petugas di stesen kereta api Shenyang, Cai Jiakoun memaklumkan aliran penumpang membanjiri stesen itu, dengan mencatatkan sebanyak 53,000 orang meskipun baru memasuki hari pertama kemuncak perjalanan TBC.
Sementara itu, sektor penerbangan awam pula dijangka akan mengendalikan 90 juta penumpang dalam tempoh musim percutian tersebut, dengan mengoperasi secara puratanya 18,500 penerbangan sehari, iaitu peningkatan 8.4 peratus berbanding tahun terdahulu.
Tahun ini menandakan perjalanan kemuncak ‘balik kampung’ TBC yang pertama sejak Festival Musim Bunga dimasukka dalam senarai warisan budaya tidak ketara UNESCO, serta percutian panjang yang pertama selama lapan hari.
Profesor madya di Universiti Tsinghua, Yang Zhusong berkata gabunga kedua-dua faktor itu secara tidak langsung memberikan ransangan kepada permintaan yang berkait dengan pelancongan dan acara pertemuan semula dengan ahli keluarga.
Para petugas sedang memberikan perkhidmatan konsultasi kepada penumpang dari Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 8 Januari 2025. (Xinhua/Ju Huanzhong)
Di bandar Wuhan, iaitu hab utama pengangkutan di tengah China, Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan dijangka akan mengendalikan 3.76 penumpang dalam tempoh percutian itu, yang bersamaan dengan kenaikan sebanyak 14.6 peratus dari tahun ke tahun.
Timbalan pengurus besar lapangan terbang itu, Wu Chengkai berkata bahawa destinasi ais dan salji seperti Harbin, Changchun dan Shenyang serta kawasan pantai seperti Haikou, Sanya, Hong Kong dan Singapura menjadi laluan popular dari Wuhan.
Gergasi pelancongan dalam talian, Ctrip melaporkan bahawa terdapat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 51 peratus dalam carian perjalanan luar negara, dengan Korea Selatan dan Asia Tenggara muncul sebagai destinasi utama.
Kehadiran TBC turut menyaksikan kenaikan dalam pelancong asing, dengan tempahan pelancongan dari pelancong luar negara melonjak sebanyak 203 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024, yang antaranya turut disumbangkan oleh dasar transit secara bebas visa sehingga 240 jam.
Pelancong dari luar China kini boleh menikmati pelbagai perkhidmatan yang ditambah baik seperti kaedah pembayaran, papan tanda dwi bahasa, serta aplikasi dalam talian pembelian tiket kereta api iaitu 12306 untuk kemudahan pergerakan pelancong asing.
Jubli Intan Hubungan Diplomatik China-Indonesia: Ke Arah Kerjasama Lebih Kukuh
Tahun 2024 Presiden Xi: Detik-detik bersama rakyat
Demi Masa Depan Lebih Baik
Video: PM Anwar Sifatkan Kerjasama Malaysia-China Meningkat Secara Menyeluruh, Strategik
Puteri Kemboja Kongsi Gerakan Tarian Tradisional, Tanda Zahir Ucapan ‘Saya Sayang Anda’
- TBC 2025: Suasana Beli-belah Suntik Elemen Kemeriahan di Jiangsu
- “2025 Beijing Lantern Night”: Acara Budaya Mempesonakan di Taman Sungai Wenyu
- China Lancar Setem Istimewa Sempena Tahun Ular
- Warga Beijing Teruja Rasai Suasana Awal TBC
- Pesta Tanglung Taman Yuyuan Bakal Terangi Shanghai Pada 1 Jan 2025
- PBOC Bakal Lancar Syiling dan Wang Kertas Kenang-kenangan, Rai TBC
- Tahun Baru Cina Kini Dalam Senarai Warisan Tidak Ketara UNESCO
- Xi, Isteri Sampai Salam kepada Guru dan Pelajar AS Sempena TBC
- Bunga Segar Laris Sempena TBC
- Pusat Beli-belah Changchun Buat Naga Guna Ribuan Belon