Produk Tema Tahun Ular Laris di “Pasar Raya Dunia”

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 16 Januari 2025

Menjelang ketibaan Tahun Ular, Lu Qingrong yang mengendalikan kedai alat mainan di sebuah pasar perdagangan antarabangsa di provinsi Zhejiang, sibuk menghantar barang-barang perayaan kepada pelanggannya.

Berlokasi di Yiwu, bandar di Zhejiang yang dikenali sebagai “pasar raya dunia”, kedai Lu sudah berbulan-bulan lamanya berisi penuh dengan patung mainan merah bertemakan ular yang direkanya sendiri. Tempahan masuk dari merata-rata negara.

Menurut kalender tradisional Cina, Tahun Ular akan bermula pada 29 Januari. Zodiak Cina terdiri daripada 12 haiwan, yang bukan sahaja merekodkan tahun malahan mencerminkan sifat orang.

Lu yang keluarganya sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri patung mainan, telah menyediakan lebih 30 jenis mainan bertemakan zodiak ular. Ada yang direkanya sendiri, dan selebihnya adalah hasil kolaborasi dengan kilang rakan kongsi.

Antaranya, Fortune Snake dan Fabric Snake yang paling laris. Rekaan Fortune Snake memaparkan karakter Cina “fu” yang membawa maksud tuah.

“Persiapan untuk sebahagian besar alat mainan bertemakan ular ini bermula pada Jun dan Julai tahun lepas. Pengeluaran pula dibuat pada Ogos dan September, dan penghantaran dilakukan pada November dan Disember, iaitu bulan yang paling sibuk,” kata Lu.

Kedainya telah menjual sekitar 20,000 alat mainan sehari dalam masa dua hingga tiga bulan lalu, kata Lu, sambil menambah bahawa sesetengah daripadanya dieksport ke negara-negara seperti Malaysia dan Singapura.

Lu bukan satu-satunya peniaga di Yiwu yang mendapat untung daripada populariti barangan perayaan bertemakan ular.

Yang Hong, seorang lagi pekedai di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, juga telah menyusun penuh raknya dengan produk bertemakan ular termasuk lukisan Tahun Baharu, hiasan tingkap dan tanglung.

Menurutnya, kedainya telah menjual barang-barang ini sejak Oktober. Pada waktu puncak, tidak kurang daripada 300 pelanggan datang setiap hari. Pelanggannya kini sibuk mengisi semula stok produknya, dan mereka membuat tempahan secara langsung menerusi WeChat.

Peniaga di Yiwu mengatakan kepelbagaian jenis dan keanegaragaman rekaan barangan perayaan dari Yiwu memenuhi permintaan pengguna dari latar belakang budaya yang berbeza. Ini menarik pengguna dari pasaran-pasaran domestik dan juga antarabangsa.

Populariti barangan keluaran Yiwu jelas kelihatan daripada data perdagangan bandar tersebut. Memetik statistik kastam, dalam 11 bulan pertama 2024, volum import dan eksport Yiwu melonjak 17.6 peratus tahun ke tahun kepada 613.99 bilion yuan.

Pada akhir 2024, UNESCO memasukkan amalan orang Cina ketika menyambut Tahun Baharu tradisional ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan.

“Tatkala produk dari Yiwu dikirim ke destinasi dekat dan jauh, Tahun Baharu Cina menyingkap tirainya dengan pesona tradisional dan kedinamikan moden, menjanjikan suatu santapan Tahun Baharu yang hangat buat seluruh dunia,” ujar Feng Chaoyun, presiden Dewan Perdagangan Industri Bekalan Perayaan Yiwu.

Peniaga mempamerkan tanglung bertemakan Tahun Ular di kawasan dagangan produk kraf perayaan Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, provinsi Zhejiang, 28 Disember 2024. (Foto/IC)

Peniaga mempamerkan tanglung bertemakan Tahun Ular di kawasan dagangan produk kraf perayaan Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, provinsi Zhejiang, 28 Disember 2024. (Foto/IC)

Video

Berita Berkaitan