- Lain-lain
Persidangan Inovasi Pendidikan Global Tekankan Lapan Trend Utama TVET Antarabangsa
Bertemakan ‘Trend Global dalam Inovasi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)’, Persidangan Antarabangsa mengenai Inovasi Pendidikan Global berjaya diadakan dengan kerjasama Akademi Sains Pendidikan Nasional China (CNAES) dan People’s Daily Online.
Acara yang berlangsung di Beijing pada Isnin tersebut dianjurkan dengan tujuan untuk membincangkan tentang pembangunan pendidikan vokasional global dan inovasi dalam era digital.
Persidangan tersebut menyaksikan penyertaan tokoh berprofil tinggi, termasuk Li Zhi, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Dewasa dan Vokasional di Kementerian Pendidikan China; Ye Zhenzhen, Presiden People’s Daily Online; dan Choi Mee Young, Ketua Pendidikan UNESCO Wilayah Asia Timur.
Presiden CNAES, Li Yongzhi dalam ucatamanya telah membentangkan “Laporan Trend Inovasi Pendidikan Vokasional Antarabangsa,” yang mengetengahkan lapan trend utama dalam pendidikan vokasional global.
Antara trend utama adalah peranan pendidikan vokasional sebagai manfaat awam, penekanan terhadap pembangunan kemahiran holistik, integrasi antara industri dan pendidikan melalui kerjasama pelbagai pihak, serta transformasi digital yang memperkasakan sistem pendidikan.
Laporan itu turut menyeru agar pendidikan vokasional dijadikan asas kepada pembelajaran sepanjang hayat serta menekankan pembangunan kompetensi guru melalui gabungan teori dan praktikal.
Antara lain yang ditampilkan pada persidangan tersebut adalah pembentangan daripada pakar terkemuka seperti Pengarah Kemahiran Pendidikan dan Kemahiran di Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) iaitu Andreas Schleicher yang membincangkan penilaian kemahiran vokasional; Ketua Pusat Antarabangsa UNESCO-UNEVOC untuk TVET iaitu Friedrich Huebler yang membentangkan tentang inovasi TVET; serta Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi Perancis, Frédérique Vidal yang menghuraikan tentang pendidikan dalam era kecerdasan buatan.
Pada sesi meja bulat, panel telah membincangkan peranan TVET dalam pembangunan mampan global, diikuti dengan perkongsian pengalaman amalan terbaik oleh beberapa wakil institusi.
Diadakan dalam format hibrid, persidangan ini menghimpunkan lebih 200 wakil daripada organisasi antarabangsa, institusi pendidikan, sektor industri, dan agensi kerajaan. Acara ini menjadi platform penting untuk perbincangan dan kolaborasi bagi memacu pendidikan vokasional ke arah masa depan yang lebih cerah dan mampan.