Tiga “Mama” Zhejiang, Seorang Anak Uygur

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 22 Januari 2025

Pada pukul 8.00 pagi 15 Januari 2025, di sebuah wad Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang, seorang budak perempuan berusia 7 tahun dari Xinjiang yang sudah bersedia untuk pulang, berbaring di tepi tingkap mengucapkan selamat tinggal kepada sang penyu kecil di tangki ikan.

Sepanjang 137 hari menjalani rawatan di hospital itu, kanak-kanak perempuan Uygur yang mesra dengan panggilan Yiyi ini berjaya mengatasi “981 kesulitan”. Malahan, dia sempat mencuri hati tiga “mama” di situ – doktor Zhao Wenting, Yang Lijun dan ketua jururawat Shan Jiani, yang dipanggilnya Mama Zhao, Mama Yang, dan Mama Shan.

Sebelum berpisah, Yiyi meraup wajah Mama Zhao. (People’s Daily Online/Chen Luxun)

Sebelum berpisah, Yiyi meraup wajah Mama Zhao. (People's Daily Online/Chen Luxun)

Hadirnya sinar harapan

Yang Lijun ialah penolong pengarah jabatan kegagalan jantung dan sirkulasi dibantu mesin di Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang. Pada Mei 2024, dia pergi ke Xinjiang untuk kerja-kerja klinik amal dan promosi kebajikan awam berkaitan bantuan kegagalan jantung. Melalui inisiatif inilah hospital dan penduduk tempatan yang dibelenggu penyakit mendapat tahu bahawa Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang ada melaksanakan pelan bantuan untuk kanak-kanak yang mengalami kegagalan jantung.

Hadirlah sinar harapan buat Yiyi tatkala dia sakit tenat.

Yiyi berasal dari kaunti Baicheng di Aksu, Xinjiang. Pada akhir Jun 2024, melalui diagnosis sebuah hospital tempatan, dia didapati mengalami kardiomiopati terdilat, dan segera dipindahkan ke unit rawatan intensif Hospital Kanak-kanak Urumqi pada bulan berikutnya. Dalam tempoh ini, hospital berkenaan menjalankan rundingan jarak jauh dengan Pusat Jantung Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang. Malangnya, selepas sebulan rawatan, keadaan Yiyi tidak menunjukkan perubahan positif.

“Beberapa bulan lalu, doktor dari Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang datang untuk bertukar-tukar pendapat,” maklum seorang doktor tempatan.

“Hospital itu hospital kanak-kanak pertama di China yang menjalankan pembedahan pengimplanan jantung buatan. Bolehlah cuba! ”

Sarannya, Yiyi patut dibawa ke Hangzhou untuk pembedahan pemindahan jantung dengan secepat mungkin.

Mengejar “harapan terakhir” untuk sembuh, pada 1 September, Yiyi yang mengalami kegagalan jantung teruk, dibawa oleh ibu bapanya sejauh 4,000km ke Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang di Hangzhou.

Ketika itu, Yiyi berada dalam fasa akhir kegagalan jantung dan situasinya tidak optimistik. Untuk menyegerakan rawatan, pihak hospital membuka sebuah laluan hijau untuk pesakit kecil ini dan mengumpulkan semua pakar yang berkenaan untuk konsultasi.

Ketika baru tiba, situasi Yiyi tidak optimistik. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Ketika baru tiba, situasi Yiyi tidak optimistik. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Daripada rawatan intensif untuk mencegah kegagalan jantung hinggalah tidak lagi memerlukan ventilator, kepada ECMO (pengoksigenan membran ekstrakorporeum) untuk sokongan kardiopulmonari... selama Yiyi berada di unit rawatan intensif, Yang Lijun tidak berehat walau sejenak pun.

“Keadaannya beberapa kali memburuk, dan setiap kali kecemasan berlaku, jantung kami (seolah-olah) tercekik di tekak.”

Pada 13 September, doktor pakar hospital berkenaan, Prof Shu Qiang dan pasukannya menjalankan pembedahan pengimplanan alat bantu ventrikel kanak-kanak Jarvik2015 ke atas Yiyi. Pembedahan itu kes pertama di China, mencatat rekod kerana penerimanya adalah yang paling muda dengan berat badan paling rendah.

Difahamkan, penggunaan alat bantu ventrikel untuk menggantikan ECMO memberikan masa untuk pemindahan jantung dilakukan.

Yang Lijun yang turut terlibat dalam seluruh proses, menemani Yiyi pada fasa kritikal. Namun keadaan menjadi genting apabila Yiyi mengalami hipertensi pulmonari teruk tidak lama selepas ECMO dihentikan. Maka, alat sokongan itu dipasang semula.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Yang Lijun dan pasukannya mengawasi tanda-tanda vital Yiyi dengan rapi. Akhirnya, dengan sokongan ECMO dan alat bantu ventrikel, Yiyi dipindahkan ke unit rawatan intensif. Pada hari ketiga selepas pembedahan, ECMO berjaya dihentikan. Pada hari kesepuluh pula, Yiyi yang tidak lagi memerlukan ventilator, dipindahkan ke wad pesakit dalam.

Bagi melegakan kerisauan ibu bapa Yiyi, kakitangan perubatan secara spontan mengutip derma dan memohon sokongan biaya khas berjumlah 150,000 yuan untuknya. Yayasan Wanita dan Kanak-kanak Zhejiang pula membuka sebuah akaun untuk Yiyi, mengumpul derma melebihi 820,000 yuan. Pada masa yang sama, pihak hospital menyediakan rumah sementara dan menghubungi sukarelawan dari Xinjiang untuk menyelesaikan masalah bahasa, semuanya untuk meringankan beban keluarga itu sewaktu di Hangzhou.

Merawat penyakit dan menenangkan hati

“Budak ini penuh tiub dan dipasangkan dengan pam nasogaster.”

Selepas berbincang dengan ibu bapa Yiyi, ketua jururawat Shan Jiani mula melatihnya untuk makan sendiri agar dapat lebih cepat sembuh. Namun, ini bukanlah suatu perkara mudah.

“Dia tak dapat batuk dan tak dapat buang kahak. Ini sangat bahaya,” katanya.

Sebelum makan, Shan Jiani akan mengetuai kumpulan jururawat menepuk belakang Yiyi dan kemudian mengeluarkan kahak menggunakan alat sedut.

Yiyi, ibunya (tengah) dan Mama Shan (kanan) di wad. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Yiyi, ibunya (tengah) dan Mama Shan (kanan) di wad. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Badan yang terlalu lemah menjadikan Yiyi tidak mampu menelan.

“Kalau tak dapat telan, minum dulu susu untuk dapatkan khasiatnya. Kalau tak dapat guna straw, guna sudu untuk suap sedikit demi sedikit. Tak boleh terburu-buru, sebab senang tercekik.”

Ada kalanya, Shan Jiani menghabiskan masa setengah hari untuk habis menyuapkan 50ml susu.

“Mama Shan, dah habis.” Baik dan sopannya Yiyi, memudahkan kerja Shan Jiani. ”

Pada hari kesepuluh selepas dipindahkan ke wad, Yiyi tidak lagi memerlukan pam nasogaster untuk makan.

Selain makan, Yiyi juga perlu berlatih berjalan. Zhao Wenting yang menguruskan rehabilitasi pasca pembedahan, membawa pesakit kecil ini berjalan-jalan ketika membuat rondaan harian.

Daripada mula-mulanya hanya berlatih berdiri di katil, sampailah dapat berdiri di lantai, hingga akhirnya berjalan-jalan keliling katil dengan bantuan... kira-kira 20 hari selepas pembedahan, Yiyi cuba turun dari katil dan berjalan sendiri. Teruja kerana berjaya, dia meminta bapanya memanggil Zhao Wenting dari bilik petugas.

“Mama Zhao, tengok! Saya tak perlu dibantu!”

“Bagusnya!”

Di samping mengawasi keadaan fizikalnya, emosi juga aspek yang menjadi fokus Zhao Wenting. Untuk beberapa ketika sesudah pembedahan, Yiyi hendak keluar bermain tetapi tidak dibenarkan. Melihat rupa anak itu yang nampak kehilangan, Zhao Wenting membawanya menaiki kerusi roda ke hujung koridor untuk melihat pemandangan di luar sambil berbual-bual.

“Budak ini selalunya pemalu, tapi di depan tiga ‘mama’ ini, dia cukup petah bercakap,” kata ibu Yiyi.

“Hangzhou rumah kedua kami.”

Pada 11 Oktober 2024, bersama-sama tiga “mama” Zhejiang, Yiyi menyambut hari jadinya yang ke-7 di hospital sehari lebih awal. Diberi bunga, hadiah dan kek, dia tidak tahu apa lagi hendak diminta dan cuma mampu melemparkan senyuman kepada mereka.

Yiyi menikmati kek hari jadi. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Yiyi menikmati kek hari jadi. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

2 Disember, hari Yiyi cukup bertuah mendapat jantung. Dalam perjalanan ke bilik bedah, dia menggenggam erat tangan Yang Lijun.

“Mama akan temani saya?”

“Mama akan sentiasa di sisi, jangan risau. Rasanya macam pergi tidur saja. Selepas bangun, kami semua akan ada.”

Pembedahan pemindahan jantung berakhir dengan jaya. Yiyi dipindahkan ke wad isolasi untuk pemulihan pasca pembedahan. Yang Lijun menziarahinya setiap hari.

“Beberapa kali ketika saya melangkah masuk dari pintu wad, budak ini dah tercari-cari saya,” ujar Yang Lijun seraya mengukir senyuman.

Masa berlalu, musim silih berganti. Ketika hari berubah dingin, Yiyi yang kini mampu berjalan dengan bebas, kerap kali pergi ke bilik petugas dan stesen jururawat untuk mencari “mama”.

“Kadang-kadang ketika kami sibuk, dia akan berada dekat. Semua dia nak tahu, dan dia suka bertanya,” kongsi Zhao Wenting.

Melihat badan si kecil ini makin hari makin sihat berisi, Shan Jiayi berasa dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

“Budak ini sangat kuat semangat dan berat badannya dah naik beberapa paun!”

Berkat jagaan rapi, keadaan mental Yiyi bertambah baik. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

Berkat jagaan rapi, keadaan mental Yiyi bertambah baik. (Foto ihsan Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang)

“Xinjiang kampung halaman kami, dan Hangzhou rumah kedua kami,” kata bapa Yiyi, sangat bersyukur.

“Kerajaan dan hospital di sini telah memudahkan urusan kami dalam semua aspek. Terima kasih banyak-banyak!”

Pada tengah hari 15 Januari 2025, selepas selesainya semua prosedur, Yiyi mengekori ibu bapanya keluar dari wad dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua. Mendengar pesakit kecil ini sudah dibenarkan pulang, ramai kakitangan perubatan datang untuk menghantarnya.

“Lepas balik, janganlah risau. Hubungan kita takkan putus,” pesan Yang Lijun, memegang tangan Yiyi rapat-rapat.

“Ini ubat-ubat yang Yiyi perlu makan. Kami sediakan lebih dan akan tambah lagi selepas habis,” jelas Shan Jiani, menghulurkan ubatan kepada ibu bapa pesakit kecilnya.

Zhao Wenting pantas mengesat air mata yang bergenang, lalu tersenyum dan melambai kepada Yiyi yang berjalan masuk ke lif.

Pada 9.45 malam hari yang sama, pesawat Loong Air GJ8781 membawa keluarga Yiyi selamat mendarat di Lapangan Terbang Hongqipo Aksu. Keesokan harinya, mereka pulang ke kaunti Baicheng.

Mendengar berita kepulangan Yiyi, saudara mara dan jiran baik di kaunti Baicheng bergegas datang berziarah membawa bunga dan anak patung.

“Hospital Rakyat Kaunti Baicheng menghantar beberapa orang doktor ke rumah untuk memberi Yiyi pemeriksaan fizikal. Kata doktor, dia dah pulih dengan elok. Dia cuma perlu makan ubat mengikut masa dan jalani pemeriksaan dengan teratur,” kata ibu Yiyi, gembira.

Abang Yiyi juga telah pulang ke rumah untuk bercuti. Akhirnya, keluarga empat beranak ini dapat bersama-sama semula.

“Melihat adik saya pulang dengan selamat, saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah membantu keluarga saya.

Video

Berita Berkaitan