- Lain-lain
Gempa Bumi 4.2 Skala Richter Gegarkan Hebei, Getaran Dirasai di Beijing
Pusat Jaringan Gempa Bumi China (CENC) memaklumkan satu gempa bumi berukuran 4.2 skala Richter melanda kaunti Yongqing di Bandar Langfang, Provinsi Hebei di utara China tepat pukul 1.21 awal pagi Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut CENC, pusat gempar telah dipantau pada 39.42 darjah latitud utara dan 116.60 darjah longitud timur. Gempa tersebut melanda sedalam 20 kilometer.
Difahamkan, pusat gempar tersebut terletak 13 kilometer dari Beijing, dengan ramai penduduk di ibu negara China itu telah menerima amaran awal gempa bumi. Gempa itu dirasai oleh pelbagai tempat di Beijing termasuk daerah Daxing, Fengtai, Tongzhou dan Haidan, dengan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Xinhua yang memetik Agensi Gempa Bumi Beijing berkata bahawa kerajaan perbandaran telah mengerahkan pasukan kerja di bahagian yang paling dirasai gempa, untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan kerja-kerja bantuan kecemasan.
Taut komunikasi, bekalan elektrik dan trafik lalu lintas kekal normal pada pagi Rabu di kawasan yang terjejas di Langfang. Turut dilaporkan juga bahawa tiada kemalangan jiwa dan kecederaan kerosakan terhadap harta benda. Jabatan pengurusan kecemasan perbandaran telah menghantar petugas di kawasan pusat gempar untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan.