CAAC Beri Sijil Kelulusan Pesawat Amfibia Bersaiz Besar AG600

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 21 April 2025

Sebuah pesawat amfibia pemadam kebakaran bersaiz besar dilihat semasa satu ujian penerbangan di Xichang, Provinsi Sichuan, barat daya China pada Jun 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Sebuah pesawat amfibia pemadam kebakaran bersaiz besar dilihat semasa satu ujian penerbangan di Xichang, Provinsi Sichuan, barat daya China pada Jun 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Pesawat amfibia pemadam kebakaran bersaiz besar yang dibangunkan secara sendiri sepenuhnya oleh China, AG600 telah mendapat sijil kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Dengan perolehan sijil tersebut, ia sekali gus menandakan bahawa AG600 telah secara rasmi mendapat permit untuk kegunaan pasaran.

Xinhua yang memetik Perbadanan Industri Penerbangan China (AVIC), iaitu pembuat pesawat terkemuka China berkata bahawa ia adalah satu pencapaian dalam kemampuan pembangunan China untuk sektor pesawat kegunaan khas bersaiz besar serta industri pembuatan pesawat awam.

AG600 merupakan pesawat bersaiz besar pertama kegunaan khas awam di China yang dibangunkan mengikut keperluan syarat-syarat layak terbang penerbangan awam.

Difahamkan, ia adalah peralatan aeronautik utama yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan pembinaan sistem penyelamatan kecemasan dan sistem pencegahan bencana alam di China.

Sebuah pesawat pemadam kebakaran amfibia bersaiz besar AG600 dilihat semasa ujian penerbangan di Pucheng, Provinsi Shaanxi di barat laut China pada Oktober 2024. (AVIC menerusi Xinhua)

Sebuah pesawat pemadam kebakaran amfibia bersaiz besar AG600 dilihat semasa ujian penerbangan di Pucheng, Provinsi Shaanxi di barat laut China pada Oktober 2024. (AVIC menerusi Xinhua)

Data yang dikeluarkan oleh AVIC turut memberitahu bahawa saiz pesawat itu sedikit lebih besar berbanding pesawat satu ruang sayap arus perdana yang terdapat di pasaran, dengan panjang 38.9 meter, 11.7 meter tinggi, serta lebar sayap sehingga 38.8 meter.

AG600 mempunyai berat berlepas maksimum 60 tan, dengan jarak praktikal maksimum 4,500 kilometer. Selain itu, ia mempunyai kapasiti untuk membawa 12 tan air bagi misi memadam kebakaran.

Ketua pereka pesawat siri AG600, Huang Lingcai ketika diwawancara Xinhua berkata pemerolehan sijil oleh CAAC itu mencerminkan bahawa China mampu untuk membangunkan pesawat amfibia awam besar generasi terbaru dunia secara kendiri.

Kawasan China yang luas mempunyai rupa bumi yang pelbagai dan kompleks, yang memerlukan pesawat tujuan khas besar yang mampu berkhidmat untuk memadam kebakaran dan misi menyelamat kecemasan lain di seluruh negara.

"AG600 ialah kapal terbang yang boleh berenang dan kapal yang boleh terbang," kata Huang.

Ia menampilkan konfigurasi unik yang terdiri daripada badan atas berbentuk pesawat bersepadu dan badan bawah berbentuk bawah kapal.

Pada setiap sisi sayapnya yang besar, terdapat pelampung sepanjang 4 meter untuk menghalang pesawat daripada terbalik ke sisi semasa ia mendarat di permukaan air untuk memastikan keselamatan.

Memetik data AVIC, AG600 mempunyai kelajuan penerbangan tahap minimum 220 kilometer sejam, ketinggian penerbangan operasi minimum 30 hingga 50 meter di atas puncak pokok, dan had perkhidmatan direka sehingga 7,600 meter di atas paras laut.

Ia boleh terbang perlahan-lahan pada ketinggian rendah dan pada kelajuan perlahan di atas tempat kejadian kebakaran hutan untuk membantu memadamkan api menggunakan air dalam volum yang banyak.

Sebuah pesawat pemadam kebakaran amfibia besar AG600 dilihat semasa ujian penerbangan di Jingmen, Provinsi Hubei, tengah China, pada April 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Sebuah pesawat pemadam kebakaran amfibia besar AG600 dilihat semasa ujian penerbangan di Jingmen, Provinsi Hubei, tengah China, pada April 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Menurut Huang, pembangunannya digabungkan dengan keperluan pesawat besar, ciri bawaan airnya, dan pengeluaran domestiknya.

Pembangunan, ujian dan pengesahannya yang rumit menjadikan AG600 sebagai antara yang sukar dalam sejarah sektor pembuatan pesawat awam dan pensijilan kelayakan udara negara.

"Pembangunannya yang berjaya menandakan kerjasama dan kejayaan yang hebat, disebabkan oleh sistem baharu negara yang menumpukan usaha dan sumber di seluruh negara pada usaha utama teknologi sains negara," kata Huang.

Sebanyak 22 bandar dan provinsi di China, 292 perusahaan dan institusi awam, dan 16 universiti di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pembangunan pesawat AG600, membolehkan pesawat itu membangunkan semua struktur kerangka udara, enjin dan sistem utamanya secara kendiri di China.

Sejak pembangunannya dimulakan pada 2009, pesawat AG600 telah melalui proses pembangunan selama 15 tahun.

AG600 berjaya menamatkan penerbangan sulungnya pada 2017, penerbangan pertama berlepas dari sebuah takungan pada 2018, dan penerbangan sulung di atas laut pada 2020. Pada 2023, AG600 telah melaksanakan tugas memadam kebakaran.

Foto empat pesawat pemadam kebakaran amfibia bersaiz besar, AG600 semasa ujian penerbangan di Pucheng, Provinsi Shaanxi, barat laut China, pada Disember 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Foto empat pesawat pemadam kebakaran amfibia bersaiz besar, AG600 semasa ujian penerbangan di Pucheng, Provinsi Shaanxi, barat laut China, pada Disember 2023. (AVIC/menerusi Xinhua)

Ia menetapkan rekod prestasi baharu bagi sektor ujian penerbangan pesawat awam yang dibangunkan sendiri oleh China. Selain itu, ia telah mewujudkan kaedah pengesahan pematuhan bebas China dan piawaian pensijilan, terutamanya untuk pesawat amfibia awam yang besar.

AVIC dipetik sebagai berkata bahawa ia sedang berusaha untuk mendapatkan sijil pengeluaran pesawat AG600 menjelang penghujung Ogos, seterusnya merealisasikan penghantarannya pada Oktober tahun ini.

Memandang ke hadapan, AVIC komited untuk meningkatkan peningkatan berterusan dan pembangunan bersiri keluarga pesawat AG600 dan mempromosikan keupayaan operasi peralatan menyelamat kecemasan aeronautik negara.

Video

Berita Berkaitan