China Baik Pulih 3.07 Juta Hektar Padang Rumput Setiap Tahun

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 24 April 2025

Foto yang diambil pada 16 Julai 2024 ini memperlihatkan pemandangan padang rumput di Banner Ujimqin Barat, Xilingol League, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China.

Foto yang diambil pada 16 Julai 2024 ini memperlihatkan pemandangan padang rumput di Banner Ujimqin Barat, Xilingol League, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China.

Pentadbiran Padang Rumput dan Perhutanan Kebangsaan (NFGA) memaklumkan bahawa China telah meningkatkan kemajuan pembaikpulihan dan pengurusan padang rumput, memulihkan 3.07 juta hektar padang rumput setiap tahun, lapor agensi berita Xinhua.

Li Yongjun, wakil NFGA berkata bahawa jumlah pelaburan yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi kerja-kerja pembaikpulihan dan perlindungan padang rumput semasa tempoh Rancangan Lima Tahun ke-14 (2021-2025) telah mencapai RMB110 bilion (AS$15 bilion).

Dalam satu sidang media pada Selasa sempena Hari Bumi Sedunia, beliau turut berkata bahawa liputan kawalan perosak dan roden tahunan telah melebihi 6.67 juta hektar dan output rumput segar melangkaui 550 juta tan.

“Kualiti ekologi padang rumput di kawasan-kawasan yang terlibat dalam Program Hutan Jalur Pelindung Tiga Utara, iaitu projek penghutanan berskala besar, telah bertambah baik dengan stabil,” ujar Li.

Beliau juga menambah bahawa Horqin Sandy Land di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China telah beransur-ansur kembali kepada landskap asal, manakala pasir yang menjejaskan Beijing dan Perbandaran Tianjin di utara China telah berkurangan secara drastik, sementara penghadang keselamatan ekologi kebangsaan telah diperkuat.

Difahamkan, NFGA telah berjaya melindungi sumber padang rumput dengan melaksanakan kempen istimewa yang dilancarkan secara bersama untuk mengatasi masalah penebusgunaan haram padang rumput.

Menurut laporan itu lagi, sejak 2018, hampir 50,000 kes pemusnahan padang rumput telah disiasat secara meluas seluruh negara, dengan lebih 1,000 suspek penjenayah telah di bawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, wilayah di serata China mempercepat usaha transformasi kaedah pengeluaran ternakan padang rumput tradisional menerusi pendekatan seperti peluasan penanaman rumput buatan dan menguatkuasakan larangan meragut dan ternakan, melaksanakan sistem pengimbangan kapasiti, serta mempromosi pemulihan padang rumput.

Di samping kejayaan pengurusan dan pembaikpulihan padang rumput, Kementerian Sumber Alam Semula Jadi memaklumkan China juga telah berjaya membangunkan model perhutanan dan padang rumput berskala besar yang dipanggil ForestDragon, sekali gus menandakan fasa baharu dalam pembangunan padang rumput dan perhutanan negara itu.

Zhang Huaiqing, Ketua pasukan penyelidik merangkap Ketua Saintis di Akademi Perhutanan China berkata bahawa ForestDragon mengintegrasikan pengetahuan spesifik-domain tentang perhutanan dan padang rumput, sekali gus menambah baik kemampuannya dalam menangani cabaran pensektoran kompleks sebanyak lebih 60 peratus.

Menurut Kementerian itu lagi, ForestDragon telah digunakan dalam lapan senario pengaplikasian utama termasuk pengecaman spesies pokok, mengenal pasti hidupan liar serta pengawasan penyakit dan perosak.

Lapor Xinhua, jabatan-jabatan yang berkait dengan padang rumput dan perhutanan akan terus mengintensifkan usaha pembaikpulihan dan perlindungan padang rumput, dengan sasaran untuk membina sistem perlindungan sumber padang rumput yang komprehensif.

Video

Berita Berkaitan