- Lain-lain
Dunia Ini Perlukan Kesaksamaan, Bukannya Hegemoni
Siapa sangka, penguin dan anjing laut juga tidak terselamat daripada “undang-undang rimba” yang menjadi alasan Washington melaksanakan logik sehala bersifat membuli. Tindakan kerajaan AS mengenakan tarif sesuka hati yang dikatakannya sebagai “timbal balas” terhadap lebih 180 negara dan wilayah di dunia, melawan arus sejarah bahkan menyakiti semua termasuk negara mereka sendiri.
Sikap ingin mendominasi yang ditunjukkan Washington ini semata-mata untuk memenuhi kepentingan sendiri, jelasnya merampas hak untuk membangun daripada negara-negara lain terutamanya yang paling lemah. Misalnya Haiti dan Lesotho, dua negara yang sudah pun miskin dan lemah, kini di pinggir keruntuhan dan kesengsaraan gara-gara pembulian dengan tarif.
Tindakan mengenakan kadar cukai yang jauh melampaui kemampuan negara-negara kecil yang berstruktur ekonomi tunggal, pada dasarnya adalah perbuatan mensubversikan tata tertib perdagangan multilateral dan cubaan mengaut keuntungan secara hegemoni. Ironi, apabila melihat Washington mengibarkan panji-panji “perdagangan saksama” sedangkan dengan semberononya mengurangkan bantuan terhadap negara membangun sambil menaikkan tarif, menginjak prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang melarang diskriminasi.
Di manakah “kesaksamaan” yang dilaungkan? Bukankah ini tidak lebih daripada logik hegemoni, “betul kerana berkuasa”?
Pada hakikatnya, yang menjadi mangsa sikap Washington ini bukan sahaja negara-negara lain, tetapi juga rakyat AS sendiri. Pelaksanaan tarif akan menaikkan harga barangan import yang perlu ditanggung oleh rakyat, mengakibatkan kenaikan inflasi dan kos sara hidup. Dijangka, kira-kira 2 juta rakyat AS mungkin kehilangan kerja ekoran tarif, dan setiap keluarga berdepan kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya 5,000 dolar.
Bukan sahaja itu, risiko stagflasi ekonomi turut meningkat, kredit dolar Amerika terkesan, aset dolar Amerika juga telah dijual dalam skala besar. Ketidakpastian yang makin ketara dalam pasaran antarabangsa tidak kondusif kepada peniaga AS yang mengembangkan perniagaan ke seberang laut, malah memberikan impak kepada perdagangan eksport gergasi Barat itu.
Bagaimanapun, suara yang bangkit menentang senario semasa di dalam AS sendiri kian lantang. Pada 23 April, sebuah pakatan melibatkan 12 negeri bersama-sama menyaman kerajaan persekutuan, atas tuduhan Washington mencabuli dasar-dasar tarifnya.
Sejarah telah lama membuktikan perang dagang dan perang tarif hanya akan membawa kemusnahan bersama. Pada tahun 1930-an, Akta Tarif Smoot-Hawley AS mencetuskan Zaman Kemelesetan di seluruh dunia. Hari ini, Washington mengulang lagi kesilapan sama dan pasti akan menanggung akibatnya. Ahli politik AS sendiri pun sedar bahawa akibat daripada tarif yang melampau bukanlah “Amerika Diutamakan” tetapi “Amerika Dipulaukan”.
Makmal Bajet di Universiti Yale menganggarkan bahawa pelaksanaan semua langkah tarif pada 2025 akan membawa kemerosotan sebanyak 1.1 mata peratusan dalam kadar pertumbuhan sebenar KDNK AS bagi tahun sama, dan penurunan 0.6 mata peratusan untuk jangka sederhana hingga panjang.
Dunia ini seharusnya adil, tanpa sikap suka mendominasi. Dalam konteks globalisasi kini, ekonomi negara-negara berbeza saling bergantung, dan sebarang turun naik di sesebuah negara mungkin membawa kesan rantaian ke atas negara-negara lain. Pada mesyuarat tahunan Majlis Perdagangan Barangan WTO baru-baru ini, kekhuatiran China berkaitan langkah “tarif sembarangan” AS disahut kuat oleh 46 negara. Majoriti negara di dunia ini yang mahukan kesaksamaan dan keadilan, nescaya akan membuat pilihan yang betul yang sesuai dengan kepentingan masing-masing.
- Kestabilan Kewangan Global Terancam Akibat "Perang Tarif" AS
- Perang Gagal Sendiri: Mengapa Tarif Tidak Mampu Realisasikan MAGA
- China Sedia Hadapi Perang Tarif, Namun Terbuka untuk Berunding
- China Bantah Sebarang Urusan Jejaskan Kepentingan China: MOFCOM
- Tarif 245 Peratus Bongkar Lagi Amalan Buli AS
- Perhalusi Kerjasama Malaysia-China Tangani Dampak Perdagangan Global - Tengku Zafrul
- China Gesa AS Batalkan Tarif Timbal Balik
- China Naikkan Kadar Tarif ke atas Import AS kepada 125 Peratus
- Langkah Tarif Trump akan Akibat Setiap Isi Rumah Hilang AS$4,400
- Kementerian Luar China Balas Langkah Tarif AS