- Lain-lain
Auto Shanghai Cerminan Keyakinan Pembuat Kereta Global Dalam Pasaran China
Sebuah kereta dipamerkan semasa Pameran Industri Automonil Antarabangsa Shanghai ke-21 pada 23 April. (People’s Daily Online/Xu Peiqin)
Pada 23 April, Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-21 yang turut dikenali sebagai Auto Shanghai 2025 telah membuka tirainya dan menampilkan lebih 100 kenderaan baharu dan teknologi termaju daripada lebih 1,000 syarikat dari 26 negara dan wilayah.
Di sebalik persekitaran perdagangan global yang semakin kompleks, pembuat kereta multinasional dan gergasi rantai bekalan seperti BMW, Audi, Aptiv dan Continental dilihat menekankan komitmen masing-masing terhadap pasaran China.
Difahamkan, syarikat-syarikat itu telah memperkenalkan produk yang disesuaikan mengikut keadaan setempat dan mengumumkan inisiatif pelaburan utama, sekali gus menghantar mesej jelas terhadap hubungan yang mendalam dan keyakinan jangka panjang.
Auto Shanghai 2025 muncul sebagai platform utama bagi pemain global untuk mempamerkan pencapaian terkini masing-masing khususnya dalam elektrifikasi dan mobiliti pintar.
Sebagai contoh, Continental telah memperkenalkan sistem bantuan pemandu yang maju, yang disesuaikan untuk pasaran China, mengintegrasikan algoritma tempatan yang dioptimumkan untuk mengatasi senario pemanduan yang kompleks di China.
Manakala, Aptiv pula telah mengetengahkan Wind River, yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya. Untuk rekod, Wind River adalah sistem pengoperasian masa dan platform virtualisasi – yang dibangunkan oleh pasukannya di China – yang berfungsi sebagai asas digital yang boleh dipercayai untuk kenderaan pintar.
Sementara itu, pembuat kereta global pula sedang membuat pelaburan sebenar di dalam pasaran China. Aptiv telah mengumumkan kilang penyambung yang baharu di Wuhan dan juga fasiliti automasi di Shanghai yang akan memulakan operasinya pada penghujung tahu ini, sekali memperkukuh keupayaan rantai bekalan yang disesuaikan dengan keadaan setempat.
Volkswagen pula telah memperkuatkan perkongsiannya dengan firma teknologi China iaitu Horizon Robotics, dengan mewujudkan usaha sama untuk membangunkan sistem bantuan pemandu L2++ khusus untuk China.
Keghairahan syarikat asing terhadap Auto Shanghai yang tidak putus-putus, dan peningkatan pelaburan mereka di China mencerminkan kekuatan pasaran China yang unik.
China telah mengekalkan kedudukannya sebagai pembuat dan penjual kereta terbesar di dunia selama 16 tahun berturut-turut. Kenderaan tenaga baharu (NEV) kini mencakupi lebih 40 peratus daripada semua jualan kereta baharu di China, dan pengguna telah menunjukkan permintaan kukuh untuk ciri pintar dan bersambung.
Pembangunan pesat China dalam NEV dan kenderaan bersambung pintar, digabungkan dengan ekosistem perindustrian yang lengkap, kumpulan bakat yang mantap, dan persekitaran inovasi yang aktif, terus menarik rakan kongsi global untuk membuat R&D dan inovasi bersama.
Pelawat asing berpeluang merasai pengalaman berada di dalam kenderaan yang dipamerkan di Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-21 pada 23 April. (People's Daily Online/Xu Peiqin)
Pelawat asing berpeluang merasai pengalaman berada di dalam kenderaan yang dipamerkan di Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-21 pada 23 April. (People's Daily Online/Xu Peiqin)
Menurut Gu Chuunting, naib pengerusi Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa Shanghai, Auto Shanghai telah menjadi barometer penting dalam pembangunan automotif global. Penglibatan kukuh syarikat asing mencerminkan tarikan besar pasaran China dan akan membantu menyepadukan lagi industri automotif China ke dalam landskap global.
Fu Bingfeng, naib presiden eksekutif Persatuan Pengilang Automobil China pula menyatakan bahawa kerjasama antara firma global dan domestik akan mempercepatkan inovasi teknologi dan peningkatan industri, sekali gus mendorong industri global ke arah masa depan yang lebih pintar dan hijau.
Foto bertarikh 23 April 2025 menunjukkan reruai pembuat kereta Jerman, Audi di Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-21. (People's Daily Online/Ji Haixin)
"China bukan sahaja berfungsi sebagai pasaran kereta tunggal terbesar di dunia, tetapi juga hab utama inovasi," kata Simon Yang, presiden Aptiv untuk China dan rantau Asia Pasifik.
Beliau turut menambah bahawa syarikat sedang berusaha untuk mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan setempat, sambil menyokong pembuat kereta China berkembang ke luar negara.
Auto Shanghai 2025 menghantar mesej jelas iaitu, pembuat kereta antarabangsa sedang membentuk semula pendekatan masing-masing terhadap China menerusi strategi ‘penyetempatan komprehensif’. Ia mengubah daripada hanya mengeksport teknologi kepada kolaborasi bersama rakan China untuk bersama-sama membangunkan piawaian untuk kenderaan pintar generasi seterusnya.
Keterlibatan secara dua hala ini bukan sahaja membantu industri automotif China ke arah rantai nilai global, tetapi juga menerokai ruang baharu untuk pertumbuhan bagi firma multinasional. Gong Min, ketua penyelidik automotif UBS China berkata bahawa momentum inovasi dan skala pasaran China akan menjadi faktor penentu terhadap daya saing pembuat kereta dalam dekad yang seterusnya.
Dengan keterbukaan dan keterangkumannya, Auto Shanghai 2025 telah membuka lembaran baharu buat industri auto global. Penyertaan syarikat asing yang penuh bersemangat merupakan tanda kepada penghargaan mereka terhadap potensi pasaran China yang luas dan juga satu refleksi kepada keyakinan kerjasama saling menguntungkan.
- Pengeluaran dan Jualan Automotif Meningkat 11.1% dan 11.7% di China
- Pameran Auto Guangzhou 2024 Pamerkan Barisan Model Mewah
- Sinergi Lebih Rancak Industri Automotif, Sasaran Henan
- Guangzhou Keluar Draf Undang-undang Pemanduan Autonomi
- Jenama Kenderaan Luar Jalan Raya Dari Guangxi Melonjak di Luar Negara
- "Transformers" alih kepada pembuatan kereta di Chongqing
- China Jadi Pengeksport Automobil Terbesar Dunia
- China Pengeksport Automobil Terbesar di Dunia pada 2023
- Infografik: Keluaran, Jualan Kenderaan China 2023 Catat Rekod
- Pengeluaran dan Jualan Automobil China Masing-masing Cecah 30 Juta Unit